KUALA TERENGGANU: Dua anggota polis ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama tujuh hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,000.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dibenarkan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek pertama berusia 50-an meminta dan menerima suapan berjumlah RM3,000 pada bulan Ogos tahun lalu.
“Dia didakwa meminta dan menerima rasuah itu daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap dakwaan jenayah perjudian dan dadah.
“Suspek kedua berusia 40-an pula disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM2,000 juga sebagai balasan melepaskan seorang individu daripada kesalahan narkotik antara bulan Disember 2022 hingga Mei 2023,” katanya di sini hari ini.
Sumber SPRM berkata, siasatan awal juga percaya kedua-dua suspek menerima rasuah terbabit secara tunai dan transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing.
Beliau berkata, dua anggota polis terbabit ditahan sewaktu memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 2 petang, semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. – Kosmo