Negara

Pangkalan haram Sungai Golok kini lengang, aktiviti rentas sempadan lumpuh

RANTAU PANJANG: Suasana lengang selain tiada pergerakan keluar masuk berlaku di beberapa pangkalan haram tumpuan sepanjang Sungai Golok, di sini.

Tinjauan mendapati pangkalan haram yang sebelum ini menjadi tumpuan orang ramai seperti Gergaji, Paung, Pohon Jambu dan Parking lengang serta tidak dipenuhi kereta seperti kebiasaan.

Malah, jeti yang sebelum ini diperbuat daripada buluh atau kayu tidak kelihatan dan hanya tinggal tangga kekal yang dibina untuk aktiviti merentas sungai sebelum ini.

Penduduk, Ramli Awang, 56, berkata, sejak kawalan ketat dijalankan pihak berkuasa, operasi keluar masuk Malaysia -Thailand melalui pangkalan haram semakin ‘perlahan’ malah ada yang ditutup sepenuhnya.

“Majoriti pengguna tetap laluan pangkalan haram seperti peniaga serta pekerja di pekan Rantau Panjang mula menggunakan pas sempadan dengan masuk atau keluar melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Selain itu, kenalan saya yang selama ini bekerja sebagai ‘penjaga’ jeti juga mengakui sudah mula mencari kerja lain untuk menampung kehidupan kerana tidak boleh mengharapkan kerja berkenaan.

“Sebagai penduduk tetap di sini, saya dapat melihat kurang berlaku aktiviti penyeludupan, tambahan pula anggota penguat kuasa dilihat membuat rondaan serta kawalan 24 jam sekali gus tidak membuka ruang kepada aktiviti rentas sempadan,” katanya ketika ditemui di Pekan Rantau Panjang, di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memberi notis kepada pemilik jeti haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor sehingga ke Rantau Panjang, dekat sini, sebelum 128 pangkalan haram dirobohkan dalam masa segera.

Sementara itu, bagi pemilik jeti haram yang mahu dikenali sebagai Pokya, 58, mengakui agak terkesan dengan arahan pihak berkuasa itu.

“Sebenarnya tidak semua menggunakan pangkalan haram untuk kegiatan tidak bermanfaat seperti menyeludup sebaliknya atas dasar hubungan kekeluargaan, urusan kerja selain ke sekolah menimba ilmu.

“Bagaimanapun, mahu atau tidak, saya perlu akur dengan undang-undang negara, justeru mengambil keputusan menutup terus jeti yang berada di sebelah kediaman saya selain turut memaklumkan kepada pelanggan tetap bahawa ia sudah ditutup,” katanya.  – Berita Harian

Related Posts