KUALA TERENGGANU: Pasukan pelapis TSG Cycling Academy mengintai peluang meraih podium apabila turun beraksi dalam perlumbaan kedua musim ini menerusi Junior Cycling Malaysia (JCM) Siri 1 di Langkawi, Kedah yang bermula semalam.
Ketua jurulatihnya, Zamri Saleh berkata kejohanan itu menjadi medan penting untuk menguji kemampuan pelumba muda pasukan, khususnya dalam kategori bawah 21 tahun yang jarang dipertandingkan dalam kalangan perlumbaan tempatan.
Menurutnya, penyertaan dalam JCM bukan sahaja memberi pendedahan kompetitif kepada pelumba, malah berfungsi sebagai penanda aras bagi menilai prestasi semasa serta mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Prestij perlumbaan JCM itu sendiri menjadikannya platform terbaik untuk pelumba kami berentap dengan pencabar lain yang turut memiliki reputasi tersendiri. Ia juga peluang untuk menilai perbezaan antara kualiti perlumbaan dan kualiti pelumba,” katanya.
Zamri menambah, sebahagian besar pelumba skuad pelapis TSG masih berusia bawah 19 tahun, sekali gus memerlukan penyertaan dalam perlumbaan kompetitif yang bersesuaian dengan kategori umur mereka.
Walaupun sasaran menaiki podium kekal menjadi misi utama, beliau menjelaskan fokus awal musim ini lebih terarah kepada usaha memperbaiki kelemahan pasukan berikutan kurang beraksi secara kompetitif pada musim lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Cycling Team (TSG), Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood meletakkan sasaran lebih besar apabila mahu pasukan pelapis itu merangkul kejayaan dalam Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Julai nanti.
“Tahun 2026 merupakan jadual yang padat buat pasukan pelapis TSG dengan penyertaan dalam beberapa kejohanan utama dalam negara serta program latihan di luar negara. Malah, sebahagian daripada mereka juga bakal beraksi di SUKMA Selangor 2026,” katanya.
Untuk rekod, pelumba muda berbakat, Muhammad Qayyim Mohd Saipul Anuwai, telah dinaikkan ke pasukan senior TSG dan membuat penampilan sulungnya memburu podium di Tour of Thailand pada Mac lalu.
Suara Timur
