KUALA LUMPUR: First Instance Body (FIB) mengesahkan hanya empat pasukan Liga Super mendapat lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sekali gus membolehkan mereka menyertai pertandingan di bawah kelolaan badan induk itu.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalan satu kenyataan menjelaskan empat pasukan terbabit adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC dan Penang FC.
“Enam kelab Liga Super memohon Lesen Pelesenan Kelab AFC kitaran 2024-2025 iaitu JDT, Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC dan Penang FC.
“Hanya empat kelab sahaja yang berjaya mendapatkan Lesen Pelesenan Kelab AFC kitaran 2024/25 iaitu JDT, Selangor FC, Sabah FC dan Penang FC.
“Manakala baki dua kelab lagi tidak berjaya mendapatkan Lesen AFC iaitu Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA) FC,” kata Sheikh Mohd Nasir.
Dalam masa sama, Sheikh Mohd Nasir mengharapkan lebih banyak kelab akan turut mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen AFC pada masa akan datang.
“Pihak FIB mengucapkan tahniah kepada semua kelab yang berjaya memperoleh Lesen Pelesenan Kelab AFC kitaran 2024/25 dan mengucapkan penghargaan atas komitmen daripada TFC dan KDA FC atas kesungguhan untuk melengkapkan Lesen AFC.
“Pihak FIB berharap akan ada penambahan kelab-kelab yang lain dalam kitaran seterusnya bagi permohonan Lesen AFC untuk terus mengekalkan taraf kompetitif Liga Super,” katanya. – Berita Harian