Sukan

JDT cipta rekod ‘hatrik quadruple’

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT)  mencipta satu lagi rekod baharu apabila melakar ‘hatrik quadruple’ atau memenangi empat piala dalam satu musim buat kali ketiga berturut-turut.

Ia susulan kejayaan skuad Harimau Selatan merangkul trofi Piala Malaysia selepas bangkit menewaskan Sri Pahang 2-1 dalam aksi final yang dramatik di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kejayaan itu bermakna JDT terus menyapu bersih empat trofi termasuk Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia selepas melakar pencapaian sama pada musim 2022 dan 2023.

Kejayaan menawan pentas final Piala Malaysia musim ini juga menyaksikan dendam 11 tahun Harimau Selatan ke atas Tok Gajah terbalas selepas mereka tewas kepada pasukan Pantai Timur itu di pentas akhir kejohanan sama pada tahun 2014.

Pada aksi sebentar tadi, JDT yang dijangka tidak berdepan masalah untuk menjinakkan Sri Pahang bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pembukaan Tok Gajah yang dihasilkan T Saravanan pada minit ke-14.

Namun, malang menimpa Sri Pahang pada minit ke-34 apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Sergio Aguero diperintah keluar padang susulan menerima kad kuning kedua.

Beraksi dengan 10 pemain, ia jelas memberi kesan besar kepada permainan Sri Pahang, malah lebih malang apabila JDT diberikan sepakan penalti pada minit ke-54.

Sepakan penalti diberikan selepas pengadil, Razlan Joffri Ali menyemak video bantuan pengadil (VAR) yang menyaksikan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mengasari Oscar Arribas dan peluang itu digunakan sepenuhnya Da Silva untuk meledak gol penyamaan.

Namun hanya tiga minit selepas itu, Harimau Selatan turut terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila giliran Park Jun Heong pula dibuang padang selepas menerima kad kedua susulan kekasaran yang dilakukan ke atas Mykola Ahapov.

Situasi itu bagaimana tidak menjatuhkan semangat Harimau Selatan dengan skuad kendalian Hector Bidoglio berjaya berada di depan pada minit ke-74 menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi.

Pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia empat kali berturut-turut itu juga boleh diangkat sebagai wira apabila jaringannya memberikan kemenangan buat JDT di hadapan 55,550 penonton di Stadium Nasional. – Berita Harian

Related Posts