Home SukanBukit Panaroma tarikan terbaru sukan berbasikal downhill

Bukit Panaroma tarikan terbaru sukan berbasikal downhill

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU:  Bukit Panorama yang terletak tidak jauh dari pusat bandar raya Kuala Terengganu kini muncul sebagai tumpuan baharu komuniti sukan berbasikal lasak dalam acara downhill susulan kemudahan infrastruktur asas dan laluan jalan berturap hingga ke puncak bukit setinggi 85 meter dari aras laut itu.

Faktor tersebut menjadi antara penanda aras penting buat Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) dalam usaha merapatkan jurang penggiat sukan berbasikal lasak yang sebelum ini berdepan kekurangan litar perlumbaan downhill, selain menjadikan Bukit Panorama sebagai pusat latihan kedua acara tersebut di negeri ini.

Naib Presiden PLBT, M Rezal Abu Bakar berkata, kemudahan itu turut memberi manfaat besar kepada program pembangunan sukan berbasikal peringkat akar umbi yang sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan jauh ke Dungun bagi menjalani latihan.

BUKIT Panorama, Kuala Terengganu berketinggian 85 meter dari aras laut menjadi litar downhill terkini ke-2 di Terengganu yang dibuka pada tahun 2026 ini.

“Walaupun bukit ini tidak tinggi, cabarannya terletak pada reka bentuk litar yang menuntut keupayaan taktikal pelumba untuk mengendalikan basikal bagi melepasi setiap halangan.

banner

“Litar ini direka sepenuhnya untuk perlumbaan dan program pembangunan sukan secara kompetitif,” katanya kepada pemberita semasa perlumbaan Terengganu Fundoro Series 2026 di sini hari ini.

M REZAL ABU BAKAR

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya merancang untuk mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah litar downhill di setiap daerah di Terengganu sebagai usaha memperluas akses dan penyertaan sukan berbasikal lasak di peringkat akar umbi.

Menurutnya, faktor jarak ke lokasi litar antara kekangan utama yang dihadapi penggiat sukan ini sebelum ini.

Setakat ini, Terengganu hanya mempunyai dua litar sukan berbasikal lasak, dengan sebuah lagi terletak di Bukit Chatak, Dungun yang berstatus Kelas 2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas menjadi tuan rumah perlumbaan antarabangsa XCO tiga tahun lalu. – Suara Timur

Tinggalkan komen