Home SukanUMT anjur kejohanan ragbi universiti sempena sambutan ulang tahun ke-25

UMT anjur kejohanan ragbi universiti sempena sambutan ulang tahun ke-25

oleh suara timur

KUALA NERUS:  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memilih pendekatan unik bagi meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya apabila buat pertama kali menganjurkan kejohanan ragbi universiti yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.

Kejohanan sehari yang berlangsung di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail itu menghimpunkan lapan pasukan jemputan dengan 20 perlawanan dipertandingkan, sekali gus menjadi kayu ukur baharu kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mendapat sokongan Pusat Sukan dan Rekreasi UMT dalam membuktikan kemampuan mereka sebagai penganjur.


Aksi pasukan Universiti Malaysia Kelantan (jersi merah) mengeluarkan bola sewaktu scrum bersama pasukan lawan sewaktu perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Ragbi 25 Tahun UMT di padang Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT, Kuala Nerus, Terengganu.

Pengarah pertandingan Nurul Syazwani Norazman berkata penganjuran itu membuka lembaran baharu buat pelajar UMT yang sebelum ini hanya menyertai kejohanan sebagai pasukan bertanding.

“Ini satu pengalaman baharu buat kami selaku penganjur. Walaupun hanya melibatkan lapan pasukan jemputan sebagai permulaan, penyertaan pasukan dari Pahang dan Kelantan menjadi penanda aras kepada kami.

banner
NURUL SYAZWANI NORAZMAN

“Berdasarkan maklum balas positif yang diterima, kami tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan kejohanan yang lebih besar pada pertengahan tahun ini,” katanya yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan.

Beliau berkata penganjuran itu turut memberi peluang kepada Stingrays RC, satu-satunya kelab ragbi di UMT, menambah minit permainan bagi mengekalkan momentum dan prestasi pasukan pada tahap terbaik.

Sementara itu, Pengurus KPTM Bullets RC Mohd Ad Deen Al Haj Zulkefly berkata usaha UMT wajar dijadikan acara tahunan memandangkan kekurangan pertandingan ragbi di Pantai Timur.

BARISAN pengurusan pasukan ragbi Kolej Poly-Tech MARA Kuantan yang juga dikenali sebagai KPTM Bullets RC. Dari kiri – Jurulatih pasukan Anwar Hakim MD Rozhdi, pengurus pasukan Mohd Ad Deen Al Haj Zulkefly dan pemain Muhammad Irfan Zamani Hariman.

“Kami sanggup menempuh perjalanan dari Kuantan ke Terengganu kerana ketandusan penganjuran di negeri-negeri Pantai Timur, menyebabkan kami sebelum ini terpaksa mencari minit permainan di Pantai Barat atau Selatan tanah air.

“Walaupun dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar yang tidak pernah terlibat dalam aspek teknikal penganjuran, mereka berjaya melaksanakannya tanpa sebarang masalah. Kredit harus diberikan kepada usaha ini dan kami berharap ia diteruskan sebagai acara tahunan,” katanya.

AKSI pasukan Kolej Poly-Tech MARA Kuantan (jersi kuning) cuba memecah jentera pertahanan IPG Kota Baru pada Kejohanan Ragbi 25 Tahun UMT di padang Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT, Kuala Nerus, Terengganu.

Beliau turut mencadangkan agar kategori IPT dan wanita diperkenalkan pada edisi akan datang memandangkan sebahagian besar pasukan yang terlibat terdiri daripada IPT serta mempunyai pasukan ragbi wanita.

Dalam edisi sulung kejohanan itu, Tuetowear RC muncul juara selepas menewaskan IPG KB dari Kelantan 30-0, manakala pasukan tuan rumah Stingrays RC menamatkan saingan sebagai naib juara Plate selepas tewas 5-21 kepada Dungun Rugby. – Suara Timur

Tinggalkan komen