KUALA NERUS: Terengganu sedia untuk mempertimbangkan rayuan 11 pengusaha pusat hiburan keluarga dan karaoke di negeri ini yang memohon lanjutan waktu operasi sehingga jam 1 pagi.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya telah menerima surat rayuan daripada kumpulan pengusaha terbabit susulan penetapan waktu operasi sedia ada yang dihadkan hingga jam 10 malam.
Menurutnya, satu sesi perbincangan bersama pengusaha terlibat akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendengar luahan serta masalah yang dihadapi mereka.
”Saya dah terima surat rayuan daripada pengusaha pusat hiburan keluarga dan karaoke di Terengganu yang ada 11 orang kesemuanya.
”Insya-ALLAH sebelum raya ini saya akan panggil untuk duduk berbincang… untuk dengar apa masalah yang mereka ingin utarakan dan capai kata sepakat. Jadi jangan susah hati, ada ruang perbincangan. Cuma untuk bulan puasa kita tak benarkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Serah Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat di sini pada Selasa.
Sebelum ini, kerajaan negeri pada 28 Februari lalu telah menetapkan semua pusat hiburan keluarga dan karaoke di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Terengganu hanya dibenarkan beroperasi hingga jam 10 malam berkuat kuasa serta-merta.
Arahan tersebut dilaporkan bukan hanya terpakai sepanjang bulan Ramadan, malah diteruskan untuk bulan-bulan seterusnya.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam mengingatkan pengusaha agar terus mematuhi peraturan sedia ada sementara menunggu keputusan hasil perbincangan kelak.
Katanya, mana-mana pengusaha premis yang gagal mematuhi arahan tersebut boleh berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan Tempat Hiburan 2002.
Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. – Sinar Harian
