Home NegeriIPD Marang edar 3,800 pek bubur lambuk percuma

IPD Marang edar 3,800 pek bubur lambuk percuma

oleh suara timur

MARANG:  Ibu Pejabat Polis Daerah Marang (IPD Marang) terus komited menyantuni masyarakat dengan menganjurkan program agihan bubur lambuk sempena Ramadan bagi tahun kedua berturut-turut.

Menerusi inisiatif Kasih Ramadan 2026 @ 1447H, sebanyak 3,800 pek bubur lambuk berjaya disediakan dan diagihkan secara percuma kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya sekitar daerah ini. Jumlah tersebut meningkat sekali ganda berbanding penganjuran tahun lalu.o

Ketua Polis Daerah Marang, Mohd Sofian Redzuan berkata, sambutan menggalakkan yang diterima pada edisi terdahulu menjadi pemangkin untuk program berkenaan diteruskan dengan skala lebih besar tahun ini.

MOHD Sofian Redzuan (tengah) menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di hadapan IPD Marang di Marang.

Menurutnya, penganjuran kali ini turut memperkukuh kerjasama strategik antara IPD Marang dan rakan korporat tempatan, sekali gus merapatkan hubungan antara pasukan polis dan komuniti.

banner

“Maklum balas positif sebelum ini memberi dorongan untuk kami meneruskan usaha ini. Sokongan padu rakan strategik sekitar Marang membolehkan program dilaksanakan dengan lebih tersusun serta memberi impak lebih meluas kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis agihan di perkarangan IPD Marang.

MOHD Sofian Redzuan (kiri) bersama Pengerusi Eksekutif PSM Motors (M) Sdn. Bhd. Mohd Noor Mohd Arifin selaku rakan strategik program Kasih Ramadan 2026 @ 1447H di hadapan IPD Marang, Marang.

Bubur lambuk berkenaan dimasak sendiri oleh anggota polis dengan bantuan rakan strategik. Sebanyak 12 periuk berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan hasil kerjasama berpasukan yang erat.

Sementara itu, Pengurus Program, Alif Azizi Sulaiman dari PSM Motors (M) Sdn. Bhd. berkata, penyelarasan yang lebih sistematik tahun ini membolehkan proses penyediaan berjalan lancar walaupun jumlah agihan meningkat.

“Kami memulakan gotong-royong memasak seawal pagi. Cabarannya lebih besar berbanding tahun lalu kerana kuantiti perlu digandakan, namun dengan perancangan rapi dan komitmen semua pihak, bubur berjaya disiapkan mengikut jadual untuk diedarkan menjelang tengah hari,” ujarnya.

SEBAHAGIAN daripada anggota polis yang bergotong-royong mengagihkan bubur lambuk sempena Ramadan di hadapan IPD Marang, Marang.

Program itu turut mendapat sokongan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Bank Rakyat Cawangan Marang serta Liberty Insurance yang bersama-sama menjayakan penganjuran tahun kedua inisiatif berkenaan.

Penganjuran Kasih Ramadan bukan sahaja menyemarakkan semangat kebajikan sepanjang bulan mulia, malah menjadi platform memperkukuh hubungan anta pasukan keselamatan dan masyarakat dalam suasana harmoni dan penuh muafakat. – Suara Timur

Tinggalkan komen