Negara Politik

Rafizi sah tanding Timbalan Presiden PKR

SHAH ALAM: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan bertanding mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu bulan ini.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menunjukkan minat untuk bertanding jawatan tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, menjadi hak sesiapa sahaja untuk bertanding dan ia wajar diraikan dalam semangat demokrasi.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta bersama calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan ini untuk memperkukuh parti.

“Ia merupakan keputusan menang-menang bagi saya. Apa pun pilihan yang diambil oleh perwakilan parti, ia membuka ruang kepada saya untuk menawarkan sumbangan dalam usaha menguatkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan dalam kepimpinan parti sebagai timbalan presiden dan dalam kerajaan melalui saluran rasmi. Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, desas-desus mengenai Rafizi, yang juga penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, didakwa mengambil cuti panjang kerana rasa tidak puas hati terhadap keputusan pemilihan cabang PKR baru-baru ini, mencetuskan perbincangan hangat.

Rafizi juga dilaporkan meluahkan hasrat untuk meletakkan jawatan dalam satu mesyuarat bersama penyokongnya yang diadakan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April lalu. – Sinar Harian

Related Posts