Politik

Anwar tegas tidak letak jawatan, tekad pacu pembangunan negara

BAYAN LEPAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali meletakkan jawatan seperti didesak oleh segelintir pihak, selagi tidak terbabit dengan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan beliau berpegang teguh kepada pendirian itu dan akan terus fokus menjalankan amanah untuk membangunkan rakyat serta negara.

“Insya-Allah saya tidak turun, kalau saya curi duit orang suruh turun, tak apalah. Tapi saya tidak curi duit orang.

“Saya jadi Perdana Menteri hampir tiga tahun, mana ada kontrak (projek) kita bagi secara rundingan terus, semuanya melalui proses tender,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kompleks MADANI Teluk Kumbar, dekat sini hari ini.

Anwar berkata sekiranya pembangkang mempunyai cukup sokongan, mereka boleh membawa usul di Parlimen mengikut saluran demokrasi sedia ada.

“Gunakan Parlimen, kritiklah. Kalau dia (pembangkang) ada cukup jumlah, dia bawa usul, itu caranya.

“Tariklah mana-mana Ahli Parlimen untuk sokong mereka. Kalau saya kalah, saya letak jawatan secara baik. Itu cara aman,” katanya. – Berita Harian

Related Posts