KANGAR: PAS Perlis menyatakan sokongan penuh terhadap Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk terus menerajui Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai Presiden, walaupun wujud khabar angin berkenaan pengunduran beliau atas faktor kesihatan.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, walaupun Tuan Guru Abdul Hadi kini baru sudah menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), kepimpinan dan pemikiran beliau masih diperlukan oleh parti.
“Sangat menyokong. Dia masih layak memimpin. Kita tak guna tenaga dia, kita guna pemikiran dia, Insya-Allah. Selepas dia masuk IJN buat prosedur jantung tu, kita masih perlukan kepimpinan dia..”katanya turut menepis spekulasi bahawa Presiden PAS itu akan berundur.
Beliau bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMK) di Kompleks Seri Putra, di sini, semalam.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man turut menegaskan bahawa Abdul Hadi masih berperanan penting dalam kepimpinan parti dan Dunia Islam.
“Tidak saya katakan, kononnya dia akan berundur. Kita lihat keperluan Tuan Guru ini masih diperlukan. Orang kata dia uzur, tapi yang memimpin ini akal dia, pemikiran dia.
“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, (umur) 100 tahun, akal pemikiran dia (masih kuat),” kata Tuan Ibrahim bahawa Tan Sri Abdul Hadi memiliki pengalaman dan pemikiran tajam, menjadikannya seorang pemimpin yang sukar diganti.
Dalam kenyataan yang lain Tuan Ibrahim berkata semua jawatan di peringkat Pusat terbuka untuk dipertandingkan, kecuali jawatan Presiden.
“Pada pandangan peribadi saya, jawatan Presiden perlu dikekalkan. Begitu juga pandangan PAS kawasan-kawasan yang bersetuju agar Tan Sri Abdul Hadi terus kekal memimpin parti,” kata Tuan Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang Negeri Pahang dan Ahli Parlimen Kubang Kerian. – Harakahdaily