KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tidak menolak tiga kemungkinan hala tuju beliau selepas dipecat keahlian parti itu, semalam.
Tiga kemungkinan dipertimbangkannya itu ialah mengambil alih parti BERJASA, kembali menganggotai UMNO ataupun menyertai PAS.
“Saya akan ada ‘rumah baharu’. Rumah baharu ini merujuk kepada rumah bangsa… ia boleh jadi parti baharu ataupun lama tetapi yang penting, rumah baharu.
“Begitu juga dengan dakwaan bahawa saya akan mengambil alih BERJASA.
“Mungkin betul atau tidak tetapi segala-galanya akan dipertimbangkan kerana ini adalah antara pilihan yang ada,” katanya kepada pemberita pada Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Hamzah, di sini, petang ini.
Sambil mengaku beliau kini bertindak sebagai ‘kapten’ perjuangan semua pemimpin BERSATU yang dipecat daripada parti itu, Hamzah bagaimanapun menjelaskan beliau tidak menetapkan sebarang tempoh khusus untuk memuktamadkan keputusan berhubung hala tuju baharunya.
“PAS ada menyatakan mereka membuka pintu untuk bergabung. Inilah sebabnya saya kata, jangan tanya sama ada mahu bergabung dengan siapa dan bila. Ini akan diputuskan secara bersama selepas berbincang dengan semua rakan.
“Hari ini sudah Sabtu, manakala esok dan Isnin pula cuti. Saya sudah bertanya kepada mereka tetapi semuanya dalam mood cuti. Mereka datang hari ini pun atas dasar sahabat saya,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan bahawa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menasihati beliau agar terus tenang menghadapi sebarang kemungkinan, dalam pertemuan mereka di Rusila, Terengganu, semalam.
“Saya sampai dan beliau (Abdul Hadi) berkata: ‘Insya-Allah, apapun yang berlaku mesti ada hikmah di sebaliknya’,” katanya.
Hamzah berkata, Abdul Hadi turut bertanyakan jumlah Ahli Parlimen yang kini bersamanya.
“Setakat ini, termasuk saya sendiri, sudah diumumkan 19 daripada 25 Ahli Parlimen bersama pihak saya. Itu menunjukkan majoriti,” katanya.
Hamzah menegaskan beliau tidak akan membuat keputusan secara bersendirian, sebaliknya akan berbincang dengan rakan-rakan pemimpin yang lain.
“Saya bukan seorang yang membuat keputusan sendirian. Ada rakan-rakan yang akan saya bincang dengan mereka,” katanya.
Sementara itu, Hamzah menegaskan beliau tidak akan merayu keputusan BERSATU memecat keahliannya mahupun memfailkan petisyen di mahkamah bagi mengisytiharkan tindakan berkenaan tidak sah dari segi undang-undang.
“Saya kini bebas dan tidak perlu lagi mendengar perkara yang mungkin terpaksa dilakukan (jika kembali bersama BERSATU). Buat apa (memfailkan petisyen ke mahkamah), biarkanlah keputusan parti,” katanya.
Terdahulu, Hamzah dalam ucapan pada taklimat itu berkata, beliau membuat keputusan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap pemecatannya daripada BERSATU, selepas mengambil kira faktor perjuangan memerlukan pengorbanan.
“Semata-mata kerana perjuangan. Kalau saya tidak lagi diperlukan parti, maka selamat tinggal BERSATU,” katanya. – Berita Harian
