JEMPOL: Lima maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 6 Jalan Bahau-Rompin di sini malam Rabu.
Kemalangan jam 9.05 malam itu melibatkan kenderaan Perodua Axia, Toyota Mark X dan sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu Perodua Axia dipandu lelaki berusia 31 tahun bersama tiga penumpang dari arah Rompin menuju ke Bahau.
“Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba datang Toyota Mark X dipandu lelaki berusia 51 tahun telah masuk ke laluan bertentangan dan terus bertembung secara berhadapan sehingga menyebabkan Perodua Axia tersebut berpusing.
“Kemudian datang sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah belakang telah terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan Perodua Axia tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan pemandu Perodua Axia bersama dua penumpang berusia 18 dan 19 tahun serta pemandu Toyota Marx X cedera parah pada kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Tambahnya, penumpang belakang Perodua Axia berusia 16 tahun pula disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah.
“Pemandu pacuan empat roda tidak mengalami apa-apa kenderaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahayakan.
“Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di talian 016-3627746 bagi membantu siasatan,” katanya. – Sinar Harian