Mahkamah dan Jenayah Negara

SPRM kerjasama dengan pihak berkuasa UK siasat aset Tun M, keluarga dan sekutu

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa United Kingdom bagi menyiasat aset milik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ahli keluarga serta sekutunya.

Kerjasama itu dilaksanakan menerusi Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance, MLA) dengan National Crime Agency (NCA) United Kingdom yang dimeterai pada Disember tahun lalu.

Sumber berkata, SPRM sebelum ini mengadakan beberapa siri pertemuan dengan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), unit khas di bawah NCA berpusat di London bagi membincangkan siasatan berkenaan.

“SPRM kini menunggu senarai rasmi aset daripada pihak berkuasa United Kingdom melibatkan beberapa negara termasuk Kanada, Switzerland, Jepun dan United Kingdom sendiri.

“Sebaik maklumat lengkap diperoleh, SPRM akan memulakan proses perundangan untuk tindakan sitaan serta pelucuthakan aset yang dikenal pasti, sebagaimana dilakukan dalam kes membabitkan Tun Daim Zainuddin sebelum ini,” katanya pada Selasa.

Sumber itu menegaskan, usaha mengesan dan memulangkan aset yang dipercayai diseleweng bukan perkara mudah.

“Hal ini kerana melibatkan instrumen perundangan antarabangsa selain memerlukan kerjasama pelbagai pihak luar negara.

“Namun siasatan tetap diteruskan secara telus bagi memastikan semua aset haram dapat dipulangkan kepada negara,” katanya.

Difahamkan, siasatan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan serta Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Setakat ini, SPRM sudah memanggil dua anak kepada Dr Mahathir untuk mengisytiharkan aset yang dimiliki di dalam dan luar negara.

Terdahulu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung aset milik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih diteruskan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan maklumat daripada agensi penguat kuasa luar negara berhubung perkara itu. – Sinar Harian

Related Posts