Mahkamah dan Jenayah

Terengganu rekod 25 kematian akibat lemas tahun lalu

KUALA TERENGGANU : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu merekodkan sebanyak 25 kematian akibat lemas sepanjang tahun 2024.

Pengarahnya, Nor Mahathir Muhamad berkata, kes lemas tersebut berlaku di beberapa kawasan riadah seperti sungai, pantai dan air terjun.

“Pada tahun lalu, kita terima sebanyak 26 kes yang mengorbankan 25 nyawa namun, 22 orang berjaya diselamatkan.

“Kebanyakan kes lemas tersebut berlaku ketika mangsa sedang bermandi manda dan memancing di lokasi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tahunan Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2025 di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, JBPM Terengganu masih membuat pemantauan dan penilaian risiko di lokasi tumpuan ramai ketika cuti musim perayaan Tahun Baharu Cina memandangkan Monsun Timur Laut (MTL) masih belum berakhir.

“Malam ini juga, dijangka berlaku fenomena air pasang besar dan kita akan memantau kawasan berhampiran muara agar orang ramai tidak berada di kawasan tersebut,” katanya. – Suara Timur

Related Posts