DUNGUN: Polis menahan seorang lelaki bersama teman wanitanya selepas menemui sejumlah pil dipercayai dadah seberat kira-kira 178.68 gram, hari ini.
Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, kedua-dua suspek ditahan di Felda Kerteh, Ketengah Jaya Dungun jam 1 pagi.
Menurutnya, sepasukan polis dari Balai Polis Ketengah Jaya yang melakukan rondaan melihat kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
“Kedua-dua suspek ditahan dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah pil disyaki dadah jenis yaba dengan anggaran berat 178.68 gram.
“Dadah dianggarkan bernilai kira-kira RM13,401 itu dirampas dan kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Dungun untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki berusia 33 tahun positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita berusia 39 tahun pula negatif,” katanya.
Maizura berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber dadah itu diperolehi serta rangkaian pengedaran yang terbabit.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga khamis ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Metro
