KUALA LUMPUR: Mayat seorang bayi yang belum dikenal pasti jantinanya pada awal penemuan ditemukan terapung di sebatang sungai di belakang sebuah restoran di Jalan Klang Lama, di sini, pada Jumaat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar jam 3 petang menerusi panggilan kecemasan MERS999.
“Susulan itu, seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh bersama sebuah jentera telah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Anggota bomba kemudian melakukan kerja-kerja mengangkat mayat dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan PGO JBPM Kuala Lumpur.
Sementara itu, Komander Operasi, Sahruddin Mat Noor ketika dihubungi Bernama berkata, mayat bayi berkenaan dipercayai telah hanyut sebelum ditemukan tersangkut di kawasan sungai tersebut.
“Jantina bayi itu tidak dapat dikenal pasti pada awalnya kerana keadaannya yang kurang sempurna,” katanya.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati seorang saksi di tempat kejadian telah melihat objek menyerupai mayat tersangkut pada batu di dalam sungai sebelum menghubungi polis pada jam 2.05 petang.
“Hasil siasatan mendapati jasad tersebut merupakan bayi lelaki dan masih bertali pusat.
“Proses bedah siasat akan dijalankan esok pada jam 1 tengah hari di Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit. – Sinar Harian