Home NasionalSPM 2025: 13,779 calon dapat semua A, catat Gred Purata Kebangsaan 4.42

SPM 2025: 13,779 calon dapat semua A, catat Gred Purata Kebangsaan 4.42

oleh suara timur

PUTRAJAYA: Seramai 13,779 atau 3.55 peratus daripada 395,740 calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, daripada jumlah itu juga seramai 376 calon mendapat gred A+ bagi semua mata pelajaran, meningkat berbanding tahun sebelumnya, 24 calon.

“Bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2025 turut menunjukkan peningkatan 1.03 peratus iaitu seramai 92,347 berbanding 86,040 calon pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2025, di sini pada Selasa.

banner

Ujarnya, jumlah calon yang cemerlang kombinasi A+,A dan A- menunjukkan sedikit penurunan sekitar 0.10 peratus berbanding tahun lalu, 13, 827 calon.

Bagaimana pun Mohd Azam berkata KPM akan meneliti perkara tersebut dan mengambil tindakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.

“Ia bukanlah suatu penurunan yang besar kerana terdapat peningkatan dalam kumpulan kepujian, lulus yang merekodkan pencapaian agak tinggi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bilangan calon yang memperoleh sekurang- kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 92,347 orang (23.76 peratus) berbanding 86,040 atau 22.73 peratus pada tahun lalu.

“Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 6,307 orang,” kata Mohd Azam.

Tambahnya, calon yang memperoleh sekurang- kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran adalah seramai 141,728 orang atau 36.47 peratus pada tahun ini.

Ia menunjukkan peningkatan seramai 4,937 orang (0.34 peratus) berbanding tahun lalu, 136,791 orang tahun 2024.

Terdapat 1,631 calon gagal dalam semua mata pelajaran tahun ini menurun sebanyak 0.05 peratus berbanding tahun lalu, 1,789 orang.

Dalam pada itu, seramai 7,099 calon SPM 2025 tidak hadir berdasarkan analisis menduduki peperiksaan sekurang-kurangnya bagi enam mata pelajaran.

Menurutnya, jumlah itu merangkumi 1.79 peratus daripada jumlah calon baharu yang menduduki seramai 395,740 calon berbanding 8,108 calon tidak hadir (2.1 peratus) atau menurun 1,009 orang pada SPM 2024.

Ujar Mohd Azam, pelbagai faktor ketidakhadiran murid menduduki peperiksaan antaranya, bekerja, berpindah ke luar negara, terlibat kemalangan dan masalah keluarga.

“Ada antara calon mempunyai masalah kesihatan lain, masalah pengangkutan, meninggal dunia selain ada yang ditahan pihak berkuasa.

“Jarak masa panjang daripada tempoh pendaftaran peperiksaan pada awal tahun sehingga peperiksaan sebenar pada bulan November turut menyumbang kepada pelbagai faktor ketidakhadiran calon,” katanya.

Beliau menambah, pihak KPM di peringkat jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan pihak sekolah telah melakukan pelbagai program intervensi untuk memastikan calon hadir menduduki peperiksaan.

“Program ziarah cakna dengan pergi ke rumah murid dilakukan dengan memberikan panduan dan nasihat kepada ibu bapa dan murid itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, seramai 366,435 atau 94.29 peratus calon SPM 2025 layak diberikan sijil berbanding 355,933 atau 94.01 peratus pada 2024 sekaligus menyaksikan peningkatan seramai 10,502 orang.

“Bagi calon sekolah KPM (Kementerian Pendidikan), seramai 329,272 orang atau 94.51 peratus layak dianugerahkan sijil SPM tahun 2025.

“Jumlah itu meningkat berbanding 319,016 atau 94.20 peratus calon SPM 2024. – Sinar Harian

Tinggalkan komen