KOTA BHARU: Semua masjid di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menunaikan solat sunat Istisqa secara serentak hari ini sebagai ikhtiar memohon hujan dan rahmat daripada Allah SWT susulan cuaca panas berpanjangan.
Imam Besar MAIK, Muhammad Hana Pizi Abdullah berkata, semua masjid terbabit melaksanakan solat berkenaan dengan harapan keadaan cuaca panas berakhir.
Katanya, di Masjid Jamek Muhammadi lebih 40 jemaah menyertai solat berkenaan yang diimamkan Hairul Azizi Mokhtar.
“Solat Istisqa bukan sahaja ikhtiar memohon hujan, malah sebagai peringatan dan muhasabah supaya umat Islam memperkukuh hubungan dengan Allah SWT ketika berdepan ujian.
“Alhamdulillah, semua masjid melaksanakan solat Istisqa hari ini. Kita memohon Allah SWT mengurniakan hujan yang membawa rahmat serta meredakan keadaan,” katanya.
Terdahulu, cuaca panas berterusan sejak beberapa minggu lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, terutama berkaitan bekalan air dan keselesaan harian. – Metro
