KUALA TERENGGANU: Kemunculan semula penyu belimbing untuk bertelur di Terengganu selepas hampir sedekad menghilang memberi harapan baharu terhadap usaha konservasi reptilia yang diancam kepupusan itu.
Ia memberi harapan baharu terhadap Pantai Rantau Abang, Dungun dan sekitar yang pernah menjadi lokasi pendaratan terbesar spesies penyu terbesar berkenaan sehingga tahun 1980-an.
Bukan sekali, tetapi induk penyu belimbing berkenaan telah mendarat di Pantai Rantau Abang dan sekitar dalam tempoh 22 hari.
Kali pertama di Pantai Pasir Putih, Marang yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pantai Rantau Abang pada 1 September lalu.
Pendaratan pertama di Pantai Pasir Putih itu menghasilkan 44 biji telur, manakala kunjungan kedua di Pantai Rantau Abang pada 13 hari kemudian menemukan 81 biji telur penyu belimbing.
Penyu belimbing kembali sekali lagi mendarat buat kali ketiga untuk mengeluarkan 70 biji telur di Pantai Kuala Abang, Dungun pukul 2 pagi semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Pang Nyukang berkata, berdasarkan kesan pergerakan ditinggalkan di pasir pantai terlibat, ketiga-tiga pendaratan itu dipercayai dilakukan induk sama.
Beliau tidak menolak kemungkinan penyu belimbing betina itu bakal melakukan pendaratan lagi untuk bertelur pada masa terdekat.
“Biasanya seekor ibu penyu boleh bertelur sehingga lima kali setiap musim mengawan.
“Kemunculan semula penyu belimbing untuk bertelur di pantai Terengganu setelah menghilang sejak 2017 memberi harapan baharu terhadap usaha pemuliharaan dirintis bertahun-tahun sebelum ini,” katanya semalam.
Pang berkata, ia petanda positif menunjukkan landskap pantai-pantai di Terengganu khususnya sekitar Pantai Rantau Abang masih sesuai untuk penyu bertelur.
Katanya, seekor induk penyu tidak mendarat di satu-satu pantai untuk bertelur secara rawak, namun amat bergantung kepada banyak faktor seperti struktur pasir, akses ke daratan, pencahayaan dan kekurangan gangguan manusia
Sementara itu, Ketua Pusat Konservasi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli pula berkata, pendaratan semula penyu belimbing tersebut merupakan perkembangan positif, namun perjalanan usaha konservasi reptilia itu masih lagi panjang.
Katanya, berdasarkan sela masa konsisten dengan kitaran penyu bertelur, berkemungkinan besar induk yang mendarat di ketiga-tiga pantai Terengganu tersebut reptilia sama.
“Begitupun ia tidak bermakna populasi penyu belimbing di negara ini sudah memulih sepenuhnya selagi induk-induk spesies sama lain tidak ikut jejak sama bertelur di pantai Terengganu.
“Apa yang penting, ia mahu melihat kebanyakan 195 biji telur yang ditinggalkan induk penyu belimbing tersebut berjaya menetas,” katanya.
Mohd. Uzair berkata, tempoh 50 hingga 70 hari proses pengeraman yang dilakukan di Pusat Konservasi Penyu, Rantau Abang amat kritikal bagi memastikan kelangsungan penyu belimbing tersebut.
Beliau berkata, sebelum ini, kesemua 92 biji telur penyu belimbing yang ditemukan buat kali terakhir di Pantai Jambu Bongkok, Marang pada tahun 2017 gagal menetas berikutan tidak disenyawakan.
“Ia disebabkan perairan Terengganu kekurangan induk jantan bagi tujuan persenyawaan,” katanya. – Kosmo
