KUALA TERENGGANU: Jumlah pelaburan asing yang diluluskan di Terengganu hanya RM4.7 juta pada tahun 2024.
Menurut pendedahan yang dikongsikan admin Facebook Greater Terengganu Development, nilai pelaburan asing yang diterima Terengganu didakwa jauh lebih rendah berbanding dua lagi negeri di Pantai Timur iaitu Pahang dan Kelantan.
Dakwanya, berdasarkan carta data nilai pelaburan di tiga negeri itu menunjukkan Pahang menerima pelaburan asing tertinggi bernilai RM1.09 bilion dan Kelantan pula RM492.8 juta dan Terengganu sekadar RM4.7 juta.
“100 kali ganda lebih rendah dari Kelantan.
“200 kali ganda lebih rendah dari Pahang,” dakwa Greater Terengganu Development, hari ini.
Admin Greater Terengganu Development juga mempersoalkan manfaat yang diterima daripada lawatan-lawatan pemimpin kerajaan ke luar negara sebelum ini?
Termasuk lawatan ke Paris ketika kemuncak Olimpik tahun lepas bertemu Duta Malaysia ke Perancis.
Dalam pada itu, pelaburan asing diluluskan keseluruhan bagi Malaysia tahun lepas adalah RM170.4 bilion.
“4.7 juta ni bersamaan 0.0027” katanya.
Data tersebut didakwa dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Di ruangan komen Facebook itu, seorang pengikut dikenali Ahmad Hassan Azik berkata, “Ke Mana Halatuju Ekonomi Terengganu? Terengganu merupakan sebuah negeri yang kaya dengan hasil sumber semula jadi, khususnya petroleum, dan setiap tahun menerima hampir RM1 bilion dalam bentuk royalti. Namun, perkembangan ekonomi negeri ini masih ketinggalan berbanding negeri jiran. Lebih mengecewakan, jumlah pelaburan asing yang diluluskan untuk Terengganu pada tahun 2024 hanya RM4.7 juta, iaitu 100 kali lebih rendah daripada Kelantan dan 200 kali lebih rendah daripada Pahang. Bagaimana ini boleh berlaku?
Ironinya, Terengganu memiliki seorang Menteri Besar yang berkelulusan PhD, dengan gaji yang antara tertinggi dalam kalangan MB di Malaysia. Tetapi, dari segi ekonomi, negeri ini terus merosot dan gagal menarik pelaburan asing dalam skala yang signifikan. Rakyat pasti tertanya-tanya, apakah langkah yang telah diambil oleh kepimpinan negeri dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan? Adakah ini hanya kesilapan pentadbiran atau memang tiada strategi yang jelas untuk menarik pelaburan?
“Selain isu pelaburan yang mengecewakan, rakyat juga masih menantikan beberapa inisiatif kebajikan yang sebelum ini diwar-warkan. Dana Raya yang sebelum ini menjadi harapan rakyat, kini terus menyepi tanpa sebarang berita. Bantuan Kad Sejahtera yang pernah diperkenalkan, juga senyap selepas setahun. Malah, bantuan untuk warga emas serta program Beras Ganu yang dijanjikan turut menjadi persoalan—adakah ia masih wujud atau sudah dihentikan?
“Setiap kali persoalan ini diajukan, sering kali alasan politik dijadikan jawapan. Sampai bila? Rakyat berhak mendapat penjelasan yang jelas, bukan sekadar retorik kosong. Jika benar Terengganu sedang menuju ke arah yang lebih baik, di mana buktinya? Negeri ini tidak seharusnya terus bergantung kepada hasil minyak tanpa ada perancangan jangka panjang yang kukuh untuk membina ekonomi yang lebih lestari.
“Sudah tiba masanya kerajaan negeri tampil dengan langkah penyelesaian yang konkrit, bukannya sekadar lawatan ke luar negara tanpa hasil yang jelas. Rakyat mahukan keputusan yang nyata, pembangunan yang ketara, serta pelan ekonomi yang benar-benar berkesan. Jika tidak, sampai bila Terengganu mahu terus berada di takuk lama?” katanya. – Suara Timur