Home NasionalHarga emas pecah rekod lagi hari ini, cecah RM645 segram

Harga emas pecah rekod lagi hari ini, cecah RM645 segram

oleh suara timur

BENGALURU: Harga emas mencecah paras tertinggi hari ini, hampir menembusi ambang AS$4,500 satu auns, didorong oleh kelemahan dolar Anerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan meningkatkan permintaan terhadap aset selamat, manakala perak meneruskan kenaikan ke paras tertinggi sepanjang masa.

Spot emas meningkat 0.9 peratus kepada AS$4,486.34 satu auns (RM645.85 segram), selepas mencatat rekod AS$4,497.55 lebih awal dalam sesi dagangan.

Niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Februari naik 1.1 peratus kepada AS$4,518.90.

“Jangkaan terhadap Fed (Rizab Persekutuan) yang lebih ‘dovish’, pasaran yang semakin hilang keyakinan terhadap dolar AS, ketegangan geopolitik, pembelian oleh bank pusat… minat pelabur terhadap emas kekal sangat tinggi hasil gabungan semua faktor di atas,” kata penganalisis luar di kumpulan perbankan Swissquote, Carlo Alberto De Casa.

banner

Dolar AS meneruskan penurunan untuk hari kedua berturut-turut dan berada di landasan kejatuhan tahunan terbesar sejak 2017.

Di peringkat geopolitik, Presiden AS, Donald Trump minggu lalu mengarahkan satu ‘sekatan’ ke atas semua kapal tangki minyak yang dikenakan sekatan yang masuk dan keluar dari Venezuela, dan berkata beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya perang dengan negara itu.

Sementara itu, pasaran kini mengambil kira dua pemotongan kadar faedah pada 2026 apabila laporan mengenai Trump menamakan pengerusi Fed yang baharu lebih awal tahun depan mengukuhkan jangkaan terhadap dasar monetari yang ‘dovish’.

Harga jongkong emas melonjak lebih 70 peratus tahun ini apabila pelabur mencari perlindungan di tengah-tengah ketegangan global dan kadar faedah yang lebih rendah.

Spot perak meningkat 0.9 peratus kepada AS$69.63 satu auns selepas menyentuh paras tertinggi rekod AS$69.98 lebih awal.

Logam putih itu telah meningkat 141 peratus sejak awal tahun, disokong oleh defisit bekalan, permintaan industri dan aliran masuk pelaburan.

“Kedua-dua emas dan perak terus menarik minat belian yang kukuh. Tingkah laku ini menunjukkan bahawa paras AS$4,500 dan AS$70 dilihat kurang sebagai had keras dan lebih sebagai titik rujukan dalam aliran yang berterusan, sekali gus mengekalkan sokongan kukuh bagi kedua-dua logam buat masa ini dan sepanjang musim cuti,” kata ahli strategi penyelidikan di Pepperstone, Ahmad Assiri.

Spot platinum melonjak 2.7 peratus kepada AS$2,177.05, paras tertinggi dalam lebih 17 tahun, manakala paladium naik 1.7 peratus ke paras tertinggi tiga tahun pada AS$1,788.33, sejajar dengan kekuatan emas dan perak. – Reuters

Tinggalkan komen