Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KUALA TERENGGANU: Kerajaan meluluskan peruntukan khas RM60 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, insentif itu memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan rakyat serta pembaikan perumahan khususnya melibatkan golongan berpendapatan rendah
“Pelaksanaan program itu akan diselaraskan oleh unit penyelarasan pelaksanaan ICU Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan bantuan disampaikan secara berkesan kepada golongan sasar,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Madani YAB Perdana Menteri bersama Pelajar Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Datuk Seri Anwar mengumumkan peruntukan RM1.8 juta bagi kerja kerja naik taraf infrastruktur dan fasiliti melibatkan intitusi tahfiz dan pondok di negeri itu.
Beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan pendidikan agama serta memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan nilai ihsan.

Menurutnya, institusi tahfiz memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berakhlak, berilmu dan berintegriti.
“Peruntukan tersebut melibatkan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan asas serta sokongan kepada proses pembelajaran agar lebih kondusif,” ujarnya.
Selain itu, Perdana Menteri menegaskan institusi pendidikan agama perlu menguasai teknologi baru agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan. – Suara Timur
