KUALA NERUS: Selain diraikan dalam pertemuan keluarga besar, penghujung 2025 menjadi momen terindah buat Mat Zin Abdullah, 103, apabila dikurniakan piut kelima berusia 56 hari.
Menurut Mat Zin, hasil perkongsian hidup bersama arwah isteri, Zainab Mat Ali, dia dikurniakan 15 anak, 92 cucu yang hampir separuh daripada mereka sudah berumah tangga, serta 134 cicit.
Katanya, dalam keluarga besarnya itu juga dia turut mempunyai lima piut yang berusia 56 hari hingga ke tiga tahun.
“Alhamdulillah, dengan kesihatan yang dianugerahkan Allah SWT, saya masih mampu melihat generasi keempat selain ahli keluarga yang lain.
“Walaupun agak sukar mengenali kesemuanya namun dengan pertemuan yang diadakan ini setidaknya saya dapat melihat mereka dengan lebih dekat,” katanya.
Menurutnya, hasil perkongsian hidup dengan arwah isteri yang meninggal dunia pada 2007, menjadikan pertemuan kali ini lebih bermakna sebagai simbol kesinambungan kasih sayang dan warisan keluarga.
Katanya, tiada apa yang dapat diungkapkan selain rasa syukur kerana melihat kesemua mereka bersatu hati dalam satu keluarga besar.
Mat Zin berkata, anak sulungnya kini berusia 70 tahun dan yang bongsu pula berusia 40 tahun.
“Cucu pula yang paling tua berusia 53 tahun dan yang paling muda berusia lima tahun dan kesemuanya buat masa ini seramai 92 orang.
“Manakala, cicit sulung pula berusia 32 tahun dan yang paling muda sehingga kini berusia lapan hari dengan jumlah mereka hingga hari ini seramai 129 orang.
“Bagi generasi keempat iaitu piut seramai lima orang berusia 56 hari hingga tiga tahun kesemuanya buat ketika ini,” katanya.- Harian Metr
