Home NasionalPM dedah surat EXCO Kelantan, Terengganu minta kelulusan projek

PM dedah surat EXCO Kelantan, Terengganu minta kelulusan projek

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kewujudan dua surat berasingan daripada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Terengganu dan Kelantan membabitkan permintaan kelulusan bagi projek tertentu.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua surat berkenaan dengan jelas meminta kelulusan rasmi, berbeza dengan surat sokongan daripada bekas Setiausaha Politik Kanan beliau iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang hanya memohon pertimbangan.

Beliau mendedahkan surat dari Terengganu itu ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, namun surat dari EXCO Kelantan tidak didedahkan pihak yang ditandatangani.

EXCO Terengganu didedahkan selepas diasak oleh Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta Perdana Menteri mendedahkan nama pihak yang mewakili kerajaan Terengganu.

banner

“Memang saya nyatakan bahawa saya tidak setuju bentuk surat sokongan. Cuma kita harus bezakan. Surat sokongan ini iaitu kes termasuk pegawai di pejabat saya. Jadi, wajar diberi teguran. Tapi adakah harus dipecat kerana surat menyebut “Sila pertimbangkan”? Bukan pasti meluluskan.

“Ini berbeza dengan surat umpamanya, yang menyebut, ‘Saya memohon Datuk Seri mempertimbang kelulusan ke atas perolehan secara rundingan terus.’ Ini tidak boleh. Menyalahi peraturan.

“Ada satu lagi surat, ‘Pihak kami ingin mencadangkan syarikat sekian sebagai syarikat yang menguruskan projek berkenaan… bersama ini lampiran profil syarikat untuk rujukan dan kelulusan. Yang kedua ini, satu dari Kelantan, satu dari Terengganu,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan akan melaksanakan audit dalaman terhadap pegawai menteri dengan lebih tegas.

Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan surat sokongan atau meminta supaya syarikat diberikan kelulusan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Menjawab soalan tambahan Mas Ermieyati sama ada Perdana Menteri kesal tidak memecat Shamsul Iskandar lebih awal seperti disarankan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan), Anwar bagaimanapun berkata, pihaknya tidak boleh memecat pegawainya hanya kerana mereka menulis surat untuk minta dipertimbangkan.

Beliau berkata, pegawai yang mengeluarkan surat sokongan bagi memohon pertimbangan perlu diberikan teguran namun tidak sehingga dikenakan tindakan pemecatan.

“Bagi saya, surat yang dipanjangkan, boleh tegur, tidak menjadi satu kesalahan sehingga minta dipecat. Dalam kes surat saya hendak sebut, kalau diminta dipanjangkan, semua pernah jadi menteri.

“Surat orang hantar, kita kena log off (panjangkan), takkan kita hendak simpan. Dipanjangkan, diminta teliti. Tapi yang tidak boleh ialah minta lulus. Ini yang dibuat oleh kerajaan Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Katanya, beliau turut membidas tindakan pembangkang yang hipokrit kerana ‘membenarkan’ tindakan dibuat kerajaan Kelantan dan Terengganu dalam soal surat permintaan kelulusan projek.

“Sebab itu saya sebut sekadar nak tunjuk bahawa pembangkang tidak konsisten. Satu kes minta lulus, tiada isu. Satu kes minta pertimbangan, isu besar.

“Jadi saya nak tegaskan, surat minta pertimbangan ataupun minta perhatian, itu bukan jadi masalah. Cuma bentuk sekiranya diandaikan mempengaruhi, itu masalah. Mengarahkan kelulusan,” katanya.

Sebelum ini, Shamsul Iskandar dilaporkan mengeluarkan surat sokongan kontraktor bagi sebuah projek hospital pada 2024 sebelum meletakkan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, pada 25 November lalu. – Berita Harian

Tinggalkan komen