Politik

‘Saya tunggu usul tidak percaya’ – Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pihak pembangkang supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya benar mereka mempunyai sokongan mencukupi untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.

Bercakap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pagi Isnin, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk berdepan secara terbuka melalui proses demokrasi yang sah berbanding desakan jalanan yang cuba memaksa pertukaran kerajaan.

“Saya beritahu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, kalau ada usul hari ini, hari pertama sidang Parlimen, saya tunggu usul undi tidak percaya.

“Kalau ada majoriti, silakan,” katanya.

Menurut Anwar, beliau dimaklumkan wujud dakwaan kononnya kerajaan perlu digulingkan segera tanpa perlu menunggu pilihan raya umum.

“Ada yang kata Anwar kena turun. Saya dengar ada ribuan peserta.

“Polis beri laporan, saya kata teruskan, tidak halang,” jelas beliau. – Sinar Harian

Related Posts