Home NasionalLKIM teliti keadah bantu pemilik bot Zon C2

LKIM teliti keadah bantu pemilik bot Zon C2

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)  sedang meneliti kaedah terbaik bagi membantu pemilik bot nelayan laut dalam kategori Zon C2 di seluruh negara susulan kenaikan harga minyak diesel akibat krisis di Asia Barat sejak Februari lalu.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, golongan berkenaan antara yang paling terkesan memandangkan mereka tidak menikmati Skim Subsidi Diesel seperti nelayan Zon A, B dan C yang menerima subsidi pada kadar RM1.65 seliter.

Menurutnya, kenaikan harga bahan api itu telah menyebabkan berlakunya peningkatan kos operasi penangkapan hasil laut, sekali gus memberi tekanan kepada nelayan berkenaan.

banner

Katanya, golongan nelayan kategori C2 perlu membeli diesel pada harga industri dan mereka telah mengemuka rayuan kepada kerajaan.

“Kenaikan harga disel hari ini menjejaskan golongan nelayan kategori C2. Mereka perlu beli pada harga industri dan memang mereka buat rayuan, kita tengah melihat apa kaedah terbaik untuk kita bantu golongan berkenaan,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Kemasik di Kertih dan Penyampaian Bantuan Peralatan Nelayan di sini petang tadi.

Pada majlis itu, sebanyak 31 nelayan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemasik menerima bantuan enjin sangkut, pukat, tong insulasi 100 liter dan jaket keselamatan.

Muhammad Fadzil berkata, sebanyak 733 bot kategori Zon C2 itu membabitkan seramai 9598 nelayan.

Mengenai hasil tangkapan nelayan, Muhammad Fadzil berkata, jumlah pendaratan ikan bot nelayan kategori itu pula berjumlah 168,511.8 metrik tan setahun.

Tambahnya, fenomena cuaca panas masa kini tidak menjejaskan jumlah pendaratan ikan yang mencecah 707,009.83 tan metrik bernilai RM11.4 bilion setahun.

Sementara itu Pengerusi Nelayan Kawasan Kemasik, Zakaria Hassan berkata, mereka berterima kasih kepada kerajaan Madani yang sentiasa membantu golongan nelayan dengan menyalurkan pelbagai bantuan bagi menambah pendapatan mereka.

“Saya sebagai Pengerusi Nelayan Kawasan Kemasik saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Madani yang menyampaikan bantuan kepada untuk nelayan seramai 30 orang hari ini,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen