Oleh BAZLI RAZAK
PUTRAJAYA: Seramai tujuh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) termasuk satu pasukan berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Anugerah berprestij itu mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa dalam kepimpinan, kesukarelawanan, perpaduan, kelestarian, kesukanan, kesenian dan sinergi organisasi dengan penyertaan ribuan pelajar dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.
Finalis UPSI terdiri daripada Ng Zhen Fan Shankar (Anugerah Tokoh Siswa Negara), Nik Ahmad Nuri Nik Ismail (Tokoh Kepimpinan Siswa), Dennis Wong Kien Fui (Tokoh Perpaduan Siswa), Muhammad Haslan Mamat (Tokoh Sukan dan Rekreasi Siswa), Sayed Muzakkir Sayed Hamzah (Tokoh Seni dan Warisan), Abbas Ali Iftikhar Hussain (Tokoh Kelestarian Siswa) serta Majlis Perwakilan Pelajar UPSI Sidang 2022/2023 (Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa).
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pencapaian itu membuktikan mahasiswa universiti bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah menyerlah dalam kepimpinan, kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah.
“UPSI sentiasa berbangga dengan kejayaan mahasiswa yang berani mencabar diri di peringkat nasional.
“Kejayaan ini adalah hasil budaya kecemerlangan dan sokongan seluruh warga universiti dalam melahirkan graduan holistik, berdaya kepimpinan serta mempunyai nilai insaniah yang tinggi,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan mara ke peringkat akhir juga memberi mesej jelas mahasiswa UPSI bersedia menjadi duta ilmu dan pemimpin masa depan.
“Pencapaian ini mengangkat nama UPSI di persada kebangsaan, selari dengan visi universiti sebagai peneraju kebitaraan pendidikan,” ujar beliau.
Majlis penganugerahan ATSN 2025 dijadualkan berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya pada 1 Oktober ini. – Suara Timur
UPSI tampilkan 7 wakil di peringkat akhir Anugerah Tokoh Siswa 2025
