KUALA NERUS: Seramai 240 pemain daripada 20 pasukan sekolah mewakili tujuh daerah menyertai Kejuaraan NRDP-MSST Terengganu Rugby 7s 2026, sekali gus menjadikan edisi kali ini sebagai yang terbesar sejak kejohanan itu diperkenalkan sejak 2016.
Kejohanan kategori Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail pada 10 dan 11 Julai lepas turut menyaksikan penyertaan beberapa pasukan yang pertama kali beraksi, sekali gus mencerminkan perkembangan positif program pembangunan ragbi di peringkat akar umbi serta peningkatan minat sekolah terhadap sukan berkenaan.
Selain menjadi platform mencungkil bakat baharu, kejohanan itu turut memberi pendedahan kepada pemain muda untuk merasai pengalaman beraksi dalam suasana pertandingan kompetitif.
Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST), Aminudin Sulong berkata, pendekatan lebih terbuka yang diperkenalkan pada edisi kali ini membolehkan semua sekolah menyertai kejohanan tanpa dibatasi faktor zon atau kekuatan pasukan.

“Berbanding edisi terdahulu yang hanya melibatkan sekolah tertentu mengikut zon masing-masing, kali ini penyertaan dibuka kepada mana-mana pasukan sekolah untuk berentap.
“Pendekatan ini secara tidak langsung memberi peluang sama rata kepada bakat-bakat muda, termasuk murid dari sekolah luar bandar, untuk menimba pengalaman dan menguji kemampuan mereka di pentas pertandingan,” katanya.
Menurut beliau, sebahagian besar pasukan yang mengambil bahagian tidak meletakkan sasaran untuk muncul juara, sebaliknya menjadikan kejohanan itu sebagai medan mengutip pengalaman serta meningkatkan tahap permainan.
Aminudin berkata, kerjasama erat antara Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP), Malaysia Rugby, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menjadi pemangkin kepada perkembangan pesat sukan ragbi di Terengganu serta rantau Pantai Timur.
Beliau berkata, NRDP merupakan program pembangunan pemain berusia 13 hingga 17 tahun bagi melahirkan lebih ramai pemain elit sebagai pelapis pasukan kebangsaan pada masa hadapan. – Suara Timur
