Sukan

‘Belanja berhemah, bayar gaji ikut kemampuan’

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengingatkan pengurusan kelab-kelab bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) supaya menguruskan kewangan secara bijak dan bertanggungjawab.

Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor bertitah, kelab-kelab perlu memastikan pembayaran gaji dilakukan mengikut kemampuan serta tidak berbelanja melebihi pendapatan yang dimiliki.

“Apa yang susah? Bayar gaji, dan jangan berbelanja lebih daripada kemampuan. Cari orang yang benar-benar berminat dan memahami bola sepak untuk menguruskan kelab,” titah baginda menerusi satu hantaran di media sosial pada Khamis.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut menasihatkan kelab-kelab supaya mencontohi pendekatan berhemah yang ditunjukkan oleh Kuching City FC dan Selangor FC dalam aspek pengurusan kewangan masing-masing.

“Belanja secara berhemah. Contohi Kuching City FC dan Selangor FC,” titah baginda ringkas.

Beberapa kelab Liga Super 2024/2025 sebelum ini dilaporkan berdepan isu tunggakan gaji, menyaksikan segelintir daripadanya berkemungkinan menarik diri daripada saingan musim 2025/2026. – Awani

Related Posts