Sukan

Harga tiket final Piala Malaysia kekal serendah RM50

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/ 25 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 April ini, kekal seperti musim lalu.

Kemuncak perebutan trofi berprestij itu bakal mempertemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, tiada perubahan harga tiket bagi aksi final Piala Malaysia musim ini di mana empat kategori tiket bakal dijual kepada penyokong JDT dan Sri Pahang FC.

“MFL membuat keputusan mengekalkan harga tiket perlawanan final itu seperti sebelum ini dengan tiket harga serendah RM50 dan RM70 bagi kategori General Admission selain Premium RM150 serta VIP Grandstand RM200.

“Kami berharap dengan penetapan harga tiket serta pengumuman lebih awal ini akan memudahkan penyokong JDT dan Sri Pahang FC merancang perjalanan untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

“Bagi memudahkan penyokong mendapatkan tiket, urusan penjualan tiket akan diserahkan sepenuhnya kepada pasukan finalis seperti dilaksanakan sebelum ini.

“Proses ini dilihat membolehkan JDT dan Sri Pahang FC dapat menjual tiket kepada penyokong masing-masing secara sistematik dan sama rata,” katanya.

Pihak MFL juga mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan JDT dan Sri Pahang FC mengenai agihan tiket perlawanan akhir selain ia turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Pertama Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2024-2025 yang berlangsung hari ini.

Penyokong boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung pembelian tiket perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia menerusi hebahan yang akan dibuat oleh kedua-dua kelab finalis dalam masa terdekat. – Harian Metro

Related Posts