Sukan

Separuh akhir kedua, TFC mahu bangkit lakukan kejutan

KUALA TERENGGANU: Atas kertas peluang Terengganu FC (TFC) untuk mengulangi pencapaian musim lalu mara ke pentas final Piala Malaysia dilihat bagaikan telur di hujung tanduk susulan kekalahan 0-4 pada aksi separuh akhir pertama sebelum ini.

Namun situasi berkenaan tidak sesekali ‘membunuh’ semangat pemain skuad Penyu untuk bangkit mencipta kejutan biarpun sedar ia bukan tugas mudah untuk menjinakkan gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Skuad TFC kendalian Badrul Afzan Razali sekali lagi bakal bertembung dengan pasukan Harimau Selatan itu pada aksi separuh akhir kedua bagi penentuan ke pentas final Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini.

Pemain pertahanan, Muhammad Safwan Mazlan dilaporkan Berita Harian, berkata, atas kertas kelebihan dilihat kepada pasukan lawan dengan berbekalkan empat jaringan selain bakal beraksi di depan ribuan penyokong mereka sendiri.

Namun pemain berusia 23 tahun kelahiran Batu Rakit, Kuala Nerus itu menegaskan tidak akan sesekali berputus asa untuk mencipta sejarah yang bermakna dalam perlawanan itu.

“Lagipun peluang masih ada, dalam sukan bola sepak ini macam-macam boleh terjadi.

“Kami juga percaya dengan barisan kejurulatihan yang diketuai Badrul Afzan dan ditambah kehadiran bekas kapten kebangsaan, Rosdi Talib, harap strategi kami menjadi pada perlawanan itu nanti,” ujar pertahanan tengah kebangsaan itu.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan itu pada musim 2024/2025, semua perlawanan dimenangi JDT dengan keputusan 4-0 pada aksi pertama Liga Super dan separuh akhir pertama Piala Malaysia serta 1-0 pada aksi kedua liga. – Suara Timur

Related Posts