Sukan

Terengganu ‘buka pintu’ untuk Luqman

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) sedia membuka pintu buat bintang bola sepak sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin untuk beraksi bersama pasukan itu musim depan.

Perkembangan itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Mohd Sabri Abas yang mengakui Luqman memiliki potensi untuk berkembang menjadi seorang pemain lebih baik di saingan Liga Malaysia (Liga M).

Perkembangan itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Mohd Sabri Abas yang mengakui Luqman memiliki potensi untuk berkembang menjadi seorang pemain lebih baik di saingan Liga Malaysia (Liga M).

Malah katanya, keutamaan pasukan yang memberi peluang buat anak tempatan khususnya pemain muda beraksi dalam kesebelasan utama dilihat amat sesuai untuk Luqman.

“Kalau betul-betul Luqman nak datang ke TFC, kita boleh berunding. Kalau ada kata sepakat, dia boleh sertai kita.

“Saya rasa semua kenal Luqman lebih-lebih yang minat bola. Dia punya potensi, sayang kalau dia di luar tapi minit bermain tak dapat, memang sayang dengan bakat dia macam itu (hilang sentuhan).

“Macam contoh Arif Aiman, bila dia (Arif Aiman) dapat minit bermain, dia punya potensi itu akan datang dengan sendiri.

“Macam kita dekat Terengganu ini, memang kita bagi peluang kepada pemain muda untuk tunjuk prestasi terbaik, InsyaAllah akan berkembang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi pendedahan akhbar ini, Luqman mengesahkan 90 peratus akan kembali beraksi di Liga M sebaik kontraknya bersama kelab Belgium, KV Kortrijk berakhir Jun ini.

Dia sebelum ini diikat KV Kortrijk pada musim 2020 lalu dengan kontrak selama lima tahun dan melakar sejarah anak tempatan pertama yang membuat kemunculan dalam liga utama di Eropah selepas beraksi bersama skuad senior KV Kortrijk.

Bekas rakan sepasukan Arif Aiman di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu turut pernah beraksi di kelab Iceland, Njarovik (2023) dan YSCC Yokohama (2024) di Liga Jepun, dengan kedua-duanya secara pinjaman dari KV Kortrijk.

“Berkenaan Luqman ini kita memang berminat kalau dia betul-betul nak datang ke TFC. Sebab keutamaan kita sekarang memang gunakan pemain tempatan.

“Untuk musim depan pun dengan kekangan kewangan sekarang ini, kita lebih nak menggunakan khidmat pemain tempatan,” tambah Sabri lagi. – Harian Metro

Related Posts