Sukan

TFC kempunan raih tiga mata, sekadar seri berdepan Kuching City FC

KUALA NERUS: Terengganu FC ((TFC) sekadar mencatat keputusan seri 2-2 
berlawan Kuching City FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin , Gong Badak, malam ini.

Gol pertama TFC dijaringkan pada minit kelapan oleh Manuel Ott hasil sepakan percuma di luar kotak penalti yang melepasi jangkauan penjaga lawan, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Pada minit ke-59, Ismaheel Akinade menceriakan penyokong TFC apabila bijak menyempurnakan jaringan kedua hasil hantaran kemas Manuel Ott.

Namun, Kuching City FC yang dibimbing Aidil Sharin Sahak mengejutkan skuad Sang Penyu menerusi gol pertama sentuhan Jordan Mintah pada minit ke-63.

Seminit selepas itu, pasukan Kuching City FC berjaya memperoleh gol penyamaan setelah bola sepakan Fetrus Shitembi dari jarak 25 meter gagal ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Sebelum itu, skuad Sang Penyu hampir menjaringkan gol awal menerusi percubaan Ismaheel Akinade pada minit kedua perlawanan, namun bola sepakannya melepasi palang gol.

Pada minit ke-45, pemain muda TFC, Muhammad Syahmi Zamri yang mendapat bola hantaran Muhammad Safawi Rasid gagal disempurnakan dengan tepat walaupun hanya berhadapan Wan Muhammad Azraie.

Bagaimanapun, skuad Kuching City FC tidak ketinggalan mengatur serangan untuk memburu gol dan peluang terbaik diperoleh James Okwuosa yang melakukan sepakan kencang namun tersasar sebelah kanan gawang pada minit ke-16.

Pada minit ke-53, Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob hampir menempah nama sebagai penjaring gol tuan rumah apabila bola tandukan hasil hantaran sepakan percuma Muhammad Safawi sedikit tersasar melepasi palang gol.

TFC hampir mendapat gol ketiga pada minit ke-90 apabila bola sepakan Manuel Ott sekadar terkena palang gol. – Suara Timur

Related Posts