Sukan

Harimau Malaya mudah ratah Vietnam, badi 11 tahun berakhir

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya mengukuhkan impian untuk ke pentas Asia buat kali kedua berturut-turut apabila membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, malam tadi.

Kejayaan melakar tiga mata penuh itu menyaksikan pasukan negara berada di tangga pertama kumpulan dengan enam mata hasil dua kemenangan diraih setakat ini.

Malah kemenangan itu juga menamatkan badi kekalahan 11 tahun selepas kali terakhir menewaskan musuh tradisi itu pada 2014 lalu.

Seperti dijangka, Peter Cklamovski mempertaruhkan tenaga warisan baharu apabila menyenaraikan empat tonggak babitkan Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal dan Facundo Garces sekali gus masing-masing meraih caps pertama di pentas antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun pada awal permainan menyaksikan Malaysia yang menghuni tangga ke-131 dunia itu sukar menembusi bahagian tengah skuad Naga Emas yang dilihat cukup berdisiplin.

Malah Vietnam yang dilatih Kim Sang-sik juga sukar memasuki kubu negara sepanjang 30 minit pertama yang memperlihatkan Garces dan Irazabal bertahan dengan baik.

Peluang terbaik hadir pada minit 35 menerusi rembatan jarak jauh pemain baharu Cerezo Osaka, Dion Cools yang terkena tiang gol ketika Nguyen Filip sudah pun tertewas.

Gawang Vietnam terus diuji lima minit kemudian kali ini melalui tandukan Figueiredo yang menyambut hantaran lintang Hector Hevel namun sempat ditepis keluar Filip.

Filip yang juga pemain warisan Vietnam sekali lagi menjadi penghalang apabila lambungan Arif Aiman Hanapi sempat disentuhnya sekali gus menamatkan babak pertama tanpa sebarang jaringan.

Skuad negara yang menang pada aksi pertama menentang Nepal Mac lalu mula meningkatkan gear permainan di separuh masa kedua untuk memburu jaringan.

SNBJ akhirnya digegarkan dengan jaringan pembukaan Figueiredo menerusi rembatan padu penyerang kelab, Istanbul Basaksehir itu yang melambung melepasi jangkauan Filip di minit 49.

Malam gemilang negara diteruskan Holgado yang tenang menolak masuk bola ke gawang lawan hasil hantaran Arif Aiman sekali gus membuka akaun gol pertamanya di pentas antarabangsa bersama Figueiredo.

Arif Aiman sekali lagi menjadi duri dalam daging dalam menggerakkan jentera serangan apabila kali ini hantarannya menemui Corbin Ong yang mudah merobek gawang Vietnam pada minit 66 untuk gol ketiga.

Seorang lagi pemain warisan negara, Imanol Machuca dibawa masuk di minit 72 bagi membolehkan pemain lincah itu meraih penampilan pertamanya dengan Holgado dibawa keluar.

Vietnam cuba bangkit pada minit 78 apabila penyerang gantian, Nguyen Tien Linh membuat percubaan menerusi tandukan namun Syihan Hazmi bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.

Pesta negara diteruskan dengan jaringan keempat Cools di minit ke-88 apabila dia cantik menanduk masuk hantaran lintang pemain gantian, Endrick dos Santos untuk menjadikan ia jaringan ke limanya sepanjang bersama skuad negara. – Harian Metro

Related Posts