Negeri

Kanak-kanak berumur 12 tahun hilang sejak Sabtu

SETIU: Kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya di kawasan perumahan Sungai Tong, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata, kehilangan Adriana Batrisya Mohd Ridzuan dilaporkan bapanya, 36, pada 3.31 petang semalam.

“Tinggi kanak-kanak itu 149 sentimeter dengan berat 58 kilogram, badan gempal dan berkulit kuning langsat,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, kanak-kanak itu dipercayai keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga kira-kira 5 petang, kelmarin dan mempunyai sejarah sakit dalam perut.

“Disebabkan masalah kesihatan (sakit dalam perut) dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah ketika berada di tahun empat. Dia tinggal bersama ibu bapa dan adik lelaki berumur 8 tahun,” katanya yang memaklumkan kanak-kanak itu tiadak mempunyai rakan rapat dan hanya tinggal di rumah.

Katanya, Adriana Batrisya tidak mempunyai rakan rapat, namun dipercayai berkenalan dengan seorang lelaki melalui laman sosial.

“Hasil risikan mendapati lelaki itu bukan penduduk kawasan berhampiran,” katanya yang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Rosman Che Nordin @ Ramli di talian 013-3392709 atau 09-6098222. – Harian Metro

Related Posts