KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan terdapat warga asing menggunakan lesen memandu milik penduduk tempatan .
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan dan Operasi, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, perkara itu dikesan menerusi operasi yang dijalankan di seluruh negara.
Katanya, terdapat beberapa kes direkodkan membabitkan warga asing yang menggunakan lesen penduduk tempatan ini di beberapa negeri termasuk Kelantan dan Terengganu.
“Kita sentiasa melaksanakan operasi di seluruh negara bagi mengesan warga asing yang disyaki menggunakan lesen memandu milik warga tempatan untuk memandu kenderaan.
“Ketika pemeriksaan dilakukan ada di kalangan mereka yang menunjukkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Justeru kita sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi mengekang kegiatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baru Cina (Ops TBC 2026) di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, bagi pemegang kad UNCHR, mereka tidak layak untuk memiliki sebarang lesen atau kenderaan. – Metro
