KOTA BHARU – Penduduk Kelantan yang berdepan masalah bekalan air sejak berpuluh-puluh tahun diminta terus bersabar kerana kerajaan negeri memberi jaminan isu berkenaan akan diselesaikan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, beberapa projek utama bekalan air yang sedang dilaksanakan dijangka memberi impak besar kepada rakyat bermula tahun depan sebelum masalah itu disasarkan selesai sepenuhnya menjelang 2030.
Menurut beliau, projek Loji Rawatan Air (LRA) Chica 2 yang bernilai RM55 juta dijangka siap sepenuhnya pada September ini, manakala projek LRA Kelar dijangka mula beroperasi sekitar Mac 2027 dan LRA Tok Bali pula siap pada 2028.
“Jangan apabila dah hampir ke garisan penamat, kita pula dah tak larat. Insya-Allah menjelang 2030 kita boleh meningkatkan kuantiti dan kualiti bekalan air kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan LRA Chicha 2 di Pasir Hor di sini pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri menyasarkan kapasiti pengeluaran air mencecah 800 MLD menjelang 2030, berbanding keperluan penduduk sekitar 600 MLD sehari.
Dalam masa sama, ujarnya, usaha mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) turut dipergiat dengan sasaran menurunkan kadar itu daripada lebih 50 peratus ketika ini kepada 40 peratus menjelang 2030 melalui penggantian kira-kira 150 hingga 200 kilometer paip setiap tahun.
Menurut beliau, kehilangan air akibat kebocoran paip ketika ini melebihi 50 peratus menyebabkan sejumlah besar air terawat tidak sampai kepada pengguna.
“Apabila paip lama diganti dan kebocoran dapat dikurangkan, lebih banyak air yang dihasilkan akan sampai ke rumah-rumah pengguna,” katanya. – Sinar
