Negeri

Anggota ‘busking’ dikambing hitamkan?

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 50 anggota ‘busking’ di negeri ini mendakwa mereka hilang mata pencarian menjelang Hari Raya Aidilfitri apabila dilarang membuat persembahan muzik jalanan pada 10 malam terakhir Ramadan.

Keputusan kerajaan negeri itu mengecewakan anggota ‘busking’ terlibat kerana didakwa dilakukan secara tergesa-gesa.

Lebih 90 peratus anggota di negeri ini dikatakan melakukan pekerjaan berkenaan secara sepenuh masa untuk menyara keluarga.

Seorang anggota ‘busking’ yang enggan mendedahkan identiti berkata, wakil kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sepatutnya memanggil mereka untuk berbincang sebelum keputusan tersebut diambil.

Menurutnya, mereka akur dengan keputusan tersebut tetapi kecewa kerana suara mereka tidak diambil kira sebelum surat larangan itu dikeluarkan.

Katanya, pihak berkuasa sepatutnya memberi peluang kepada mereka membuat persembahan dengan syarat-syarat baharu walaupun lebih ketat.

“Sekurang-kurangnya mereka masih dapat mencari pendapatan untuk persiapan keluarga menyambut hari raya.

“Sehubungan itu, kami merayu kerajaan negeri dapat memberi kebenaran semula untuk membuat persembahan walaupun terpaksa mematuhi syarat-syarat baharu,” katanya.

Anggota busking itu menambah, mereka seperti dijadikan ‘kambing hitam’ oleh kerajaan negeri berikutan menerima kecaman dengan penganjuran Program Pelita Raya Terengganu 2025, baru-baru ini yang didakwa diisi dengan program hiburan di bulan Ramadan.

“Untuk menutup kelemahan kerajaan negeri, anggota ‘busking’ pula yang menjadi mangsa keadaan dengan larangan membuat persembahan menjelang hari raya,” ujarnya.

Hari ini, dilaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan Terengganu melarang semua aktiviti ‘busking’ atau persembahan muzik jalanan pada 10 malam terakhir Ramadan.

Menurutnya, larangan itu berkuat kuasa mulai semalam hingga 30 Mac ini.

Beliau berkata, peraturan itu bertujuan menghormati dan memelihara kemuliaan 10 malam terakhir Ramadan.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada semua pemilik premis perniagaan dan pasar raya yang menjadi lokasi persembahan ‘busking’ di seluruh Terengganu.

“Surat juga telah dihantar kepada semua penganjur bazar Ramadan, pesta moreh dan bazar Aidilfitri seluruh Terengganu,” katanya.

Wan Sukairi berkata, mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan berkenaan akan berdepan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menghormati dan mematuhi peraturan ditetapkan.

Terengganu sebelum ini mengarahkan semua aktiviti persembahan muzik jalanan hanya dijalankan selepas solat tarawih dengan pemilihan lagu berunsur ketuhanan.

Persembahan pula hanya membabitkan penyanyi lelaki manakala golongan wanita dilarang keras daripada terlibat dalam aktiviti terbabit. – Suara Timur

Related Posts