Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seekor tapir jantan ditemui mati, dipercayai dilanggar kenderaan berat di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran gerai jualan lemang, Kijal di sini, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, tapir yang dianggarkan seberat kira-kira 250 kilogram itu ditemui pengguna jalan raya kira-kira pukul 11.40 pagi.
“Tapir dewasa itu mati dipercayai dilanggar kenderaan. Hasil pemeriksaan menemui terdapat kesan kecederaan pada bahagian mulut, kaki dan badan bangkai hidupan liar itu,” katanya.
Kean Seong berkata, empat anggota Perhilitan daerah Kemaman kemudiannya mengambil bangkai tapir itu untuk dilupuskan.
“Kita nasihatkan agar pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati,” katanya. – Suara Timur
