Home NegeriBeberapa kampung di Kemaman berisiko banjir

Beberapa kampung di Kemaman berisiko banjir

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, di sini, berisiko berlaku banjir berikutan hujan lebat di kawasan hulu dan peningkatan paras air Sungai Teladas, sejak semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Mohd. Hafiz Adam berkata, antara kampung yang dijangka terjejas ialah Kampung Dadong, Kampung Tebak, Kampung Seberang Tayor hingga ke Kampung Pasir Gajah.

“Situasi terkini di kawasan Air Putih, paras air sungai menunjukkan trend peningkatan dan kita jangka lebih ramai penduduk akan dipindahkan.

banner
MOHD HAFIZ ADAM

“Kampung Air Putih atau Jambatan Sungai Teladas lazimnya menjadi penanda aras bagi bencana banjir di sekitar DUN ini dan biasanya selepas di kawasan kampung ini banjir, air sungai kemudiannya akan melimpah ke beberapa kampung lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, di sini, hari ini.

Mohd. Hafiz berkata, justeru penduduk diminta agar menyimpan segala barangan dan dokumen penting dan bersiap siaga  untuk sebarang kemungkinan termasuk segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

Sementara itu berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air Sungai Kampung Air Putih kini mencatatkan bacaan 14.39 meter iaitu telah melepasi paras bahaya dengan trend menaik. – Suara Timur

Tinggalkan komen