Home NegeriPeneroka berharap pertikaian ladang milik FELDA diselesai di meja rundingan

Peneroka berharap pertikaian ladang milik FELDA diselesai di meja rundingan

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Para peneroka di beberapa tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di daerah ini mengharapkan pertikaian ladang milik FELDA dan FGV Holdings Berhad (FGV) di negeri ini dapat diselesaikan dengan baik.

Mereka turut merayu agar kedua-dua pihak berkenaan dapat duduk semeja untuk mencari solusi dan penyelesaian terbaik berkaitan perkara tersebut demi masa hadapan mereka dan generasi seterusnya.

Beberapa peneroka mengakui banyak jasa dan peranan dimainkan FELDA sejak penubuhannya tahun 1956 khususnya dalam membantu menjana ekonomi keluarga dan masyarakat tanah rancangan itu.

banner
SALAH sebuah ladang sawit milik FGV di Dherul 3, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Mereka berkata, penubuhan agensi berkenaan juga amat meninggalkan kesan mendalam kepada orang Melayu dalam kawasan FELDA terutama berkaitan ekonomi dan sosial.

Peneroka berkata, lantaran itulah, penubuhan FELDA dilihat satu dasar paling berjaya cetusan pemimpin terdahulu dalam mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar yang majoritinya orang melayu.

LADANG sawit FGV Felda Cherul 3, Kemaman, merupakan antara ladang yang sita kerajaan Terengganu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut mereka, kini sebagai peneroka FELDA hasilnya, mereka telah mengecapi nikmat hidup yang selesa melalui hasil pertanian daripada sebidang tanah yang dianugerahkan dan juga sebuah rumah untuk penempatan baharu.

PENEMPATAN peneroka di FELDA Cherul, Kemaman kini semakin maju, selesa apabila dilengkapi pelbagai kemudahan asas. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Susulan itu, peneroka berharap agar isu berkenaan dapat diselesaikan segera kerana setiap peneroka termasuk generasi kedua dan ketiga turut bergantung nasib dan masa hadapan bersama FGV.

Seorang peneroka Felda Seberang Tayor, Kemaman, Che Abdul Jalil Ismail, 84, berkata, selepas menjadi peneroka di tanah rancangan itu, FELDA banyak berjasa kepada peneroka khususnya dalam memajukan sosio ekonomi keluarga mereka.

CHE ABDUL JALIL ISMAIL

“Kaedah rundingan merupakan satu-satunya jalan terbaik untuk mencari penyelesaian berkaitan isu yang sedang dihadapi itu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi peneroka generasi kedua Felda Seberang Tayor, Kemaman, Zakaria Abdul Rahman, 70, berkata, mereka berharap  isu berkenaan dapat diselesaikan melalui perbincangan antara pihak berkaitan kerana ianya membabitkan kepentingan banyak pihak termasuk peneroka.

ZAKARIA ABDUL RAHMAN

“Setakat ini, pengurusan tertinggi FELDA dan wakil kerajaan Terenganu sedang dalam proses rundingan bagi mencapai persetujuan secara menang-menang,” katanya.

Sementara itu, generasi ketiga Felda Seberang Tayor, Nazli Derani berkata, dia menyerahkan isu berkenaan kepada kedua-dua pihak untuk berunding dan berharap ianya dapat diselesaikan dengan cara terbaik demi masa hadapan mereka dan seluruh warga FELDA.

NAZLI DERANI

Dalam pada itu, beberapa peneroka FELDA  Cherul, dekat sini, mengakui peranan dimainkan FELDA telah banyak mengubah taraf kehidupan mereka menjadi lebih baik daripada mula-mula mereka menjadi peneroka.

Seorang penerokawati FELDA berkenaan, Tuan Fauziah Syed Hashim berkata, jika diimbas semula ketika dia dan suami masuk ke tanah rancangan itu di mana mereka hidup dalam keadaan serba daif dan tiada sebarang kemudahan asas seperti bekalan seperti elektrik, air dan sebagainya.

TUAN FAUZIAH SYED HASHIM

“Namun, pada masa ini, suasana tersebut jauh berubah apabila kawasan FELDA dilengkapi pelbagai kemudahan asas,” ujarnya.

Sementara itu, peneroka lain, Fadilah Hamid, berkata, mengenang semula ketika masuk ke tanah rancangan itu mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan dan FELDA banyak membantu mereka untuk meneruskan kehidupan sehinggalah menjadi lebih selesa sekarang.

FADILAH HAMID

Dalam pada itu, Zulkifli Jaafar berkata, Felda merupakan satu-satunya agensi sedemikian yang ada di dunia ini yang sentiasa berusaha untuk membantu peneroka termasuk memberikan pelbagai jenis bantuan bagi meringankan kehidupan mereka.

ZULKIFLI JAAFAR

Sementara itu, Siti Fadilah Ahmad, berkata dia dan suami pernah menitiskan air mata setiap kali mengenang nasib mereka ketika mula masuk ke Felda berkenaan yang terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran namun selepas agensi itu banyak membantu mereka kini menarik nafas lega.

SITI FADILAH AHMAD

Seorang generasi ketiga Felda Cherul, Norzalilah Mohd Nordin, berkata Felda telah banyak membantu meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan warga Felda dan kini ramai anak-anak peneroka di situ telah berjaya mendapat tawaran kerja dan jawatan yang baik.

NORZALILAH MOHD NORDIN

Dalam perkembangan isu FGV pula, para peneroka berharap kerajaan negeri dan Felda dapat duduk semeja berbincang untuk mencari kata sepakat terbaik bagi memastikan masa hadapan anak-anak Felda terbela.

Sebelum ini akhbar melaporkan, kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu bermula 29 November lalu iaitu pada tarikh akhir tempoh rundingan yang diberikan kepada agensi itu.

Penyerahan notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu. – Suara Timur

Tinggalkan komen