Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KUALA TERENGGANU: Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 dijangka bermula pada 13 November ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, sebanyak lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku dalam tempoh MTL ini.
Menurutnya, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah.
“Pada masa sama, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan risiko
kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Hisham berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai agar bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat MTL dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web
www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638. – Suara Timur
