KUALA NERUS – Sepasang suami isteri bersama enam anak mereka terpaksa berlindung di sebuah bangunan yang dijadikan rumah sarang burung walet sejak lebih setahun lalu kerana tidak mampu menyewa rumah lain.
Keluarga berkenaan yang kini menetap di Kampung Batin, di sini, menjadikan bangunan kosong milik ibu wanita tersebut sebagai tempat berteduh selepas tidak lagi mampu menjelaskan sewa rumah sebanyak RM550 sebulan, termasuk tunggakan terdahulu.
Nur Nadiatul Asyikin menjadikan hasil jualan ais krim bagi menampung sumber pendapatan keluarga.
Menurut Nur Nadiatul Asyikin Muhammad Nasir, 36, rumah tersebut asalnya dibina khusus untuk penternakan burung, namun mereka tiada pilihan selepas dihimpit beban kewangan.
“Kami ubah suai sikit-sikit rumah ini ikut kemampuan. Tapi keadaannya tidak sempurna, tiada tandas dan kami terpaksa ke stesen minyak berdekatan untuk buang air besar.

“Bilik mandi pun tak berapa lengkap lagi dan kawasan sini selalu dimasuki haiwan liar seperti ular dan babi yang mengancam keselamatan anak-anak yang masih kecil.
“Mujur setakat ini tiada yang pernah menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, pada Khamis.
Tambah Nur Nadiatul Asyikin, suaminya, Mohd Nazarudin Muhamat, 50, hanya bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan tidak tetap, manakala beliau sendiri menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual aiskrim bagi menampung keperluan keluarga.
“Kadang-kadang kami dapat RM1,000 sebulan, kadang-kadang cuma RM500.
“Kalau ada lebih, saya simpan untuk bulan depan. Untuk menyewa rumah lain memang tak mampu buat masa ini,” katanya yang kini hamil tujuh bulan anak ketujuh dan dijangka bersalin Disember depan.
Keluarga tersebut mempunyai enam anak berusia antara tiga hingga 12 tahun, termasuk anak sulung yang disahkan menghidap gangguan hiperaktif dan masalah tumpuan (ADHD) sejak kecil.
Difahamkan, mereka telah mengemukakan permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Jelas Nur Nadiatul Asyikin, sebelum ini beliau tinggal di Kuala Lumpur, namun memilih untuk pulang ke Terengganu ketika pandemik Covid-19 kerana tidak mampu menampung kos sara hidup di sana.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Terengganu, Md Razi Md Lazim berkata, pihaknya telah meninjau keadaan keluarga berkenaan dan memberi jaminan untuk membaik pulih rumah tersebut.
“Kita akan bantu baik pulih rumah ini supaya lebih selesa dengan penambahan ruang tamu, dapur dan tandas.
“Peruntukan sudah tersedia dan hanya menunggu lantikan kontraktor untuk kerja-kerja selanjutnya,” katanya. – Sinar Harian