GUA MUSANG: Lelaki yang pernah mencipta rekod sebagai manusia tertinggi di Malaysia, Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, 31, bersedia menerima rawatan sekiranya ada pihak yang sudi tampil membantu memberikan rawatan kepada dirinya yang kini menghadapi masalah sakit tulang dan tidak boleh berdiri serta berjalan.
Mohd Azli Hisyam yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, di sini, sudah dua tahun hidup terkurung di dalam rumah kerana penyakitnya itu dan terpaksa merangkak untuk ke tandas.
Mohd Azli Hisyam, berkata kerana masalah kesihatan yang dihadapinya, dia tidak dapat berdiri serta berjalan dan hanya menjalankan perniagaan menjual kad koleksi di aplikasi TikTok dengan meraih pendapatan kira-kira RM500 sebulan.
Katanya, kehidupannya kini hanya di rumah dan tidak pernah keluar sejak dua tahun lalu.
“Saya tidak boleh berdiri dan berjalan sejak dua tahun lalu. Kalau nak pergi ke tandas atau ke mana-mana saya terpaksa merangkak.
“Saya hanya mampu melakukan kerja secara dalam talian termasuk melakukan siaran langsung di platform TikTok menjual kad koleksi Pokemon.
“Kalau ada yang sudi untuk bantu dan boleh datang ke rumah saya bersedia menerima rawatan. Jauh di lubuk hati saya berharap boleh berjalan seperti dulu,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Kesedar Perkilangan Sdn. Bhd. (KPSB), Mohd Syahbuddin Hashim di rumahnya di RKT Kesedar Paloh 3.
Bapanya, Abdul Ghafar Omar, 79, berkata, dia berharap anak ketujuh daripada lapan beradik itu terus tabah dan sentiasa kuat semangat untuk menerima rawatan bagi masalah kesihatan yang dialaminya.
Katanya, pada tahun 2018 anaknya pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian kepala di Hospital Kuala Lumpur dan menjalani rawatan susulan.
“Urusan kerja dia tak lupa dan fikirannya juga tak berubah. Pergerakannya semakin terbatas dan hanya mampu duduk di kerusi dan merangkak.
“Kami hanya berdoa Mohd Azli Hisyam kembali sihat dan tidak berputus asa untuk kembali sembuh seperti dahulu. Kami juga berharap pakar perubatan moden atau tradisional dapat tampil untuk membantunya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KPSB, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya akan berusaha mencari bantuan serta merujuk pakar perubatan berkenaan penyakit masalah sakit tulang yang dihadapi Mohd Azli Hisyam.
Katanya, sekiranya tidak dirawat, Mohd Azli Hisyam berkemungkinan tidak dapat berjalan selamanya dan penyakitnya semakin sukar dipulihkan. – Berita Harian