Mahkamah dan Jenayah

Pemandu lori terbabit kemalangan 9 anggota FRU maut direman 4 hari

TELUK INTAN: Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) semalam direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 45 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Naidatul Athirah Azman di Mahkamah Majistret Teluk Intan.

Bakri berkata, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen itu mengenai pemanduan secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak lebih RM50,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian pada 8.50 pagi semalam, lori yang dipandu lelaki itu bertembung dan merempuh trak yang membawa 18 anggota FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini.

Akibat kemalangan itu, sembilan anggota FRU yang menaiki trak berkenaan maut, manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan dan sedang menerima rawatan. – Metro

Related Posts