KOTA BHARU: Bapa penyanyi dikir barat moden Wan Norshaheeda Azlin atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin berharap anaknya dibebaskan bulan depan menjadi kenyataan.
Wan Ismail Wan Yusuf, 52, berkata itu harapan mereka, selepas lima kali tempoh tahanan terhadap anaknya, suami dan empat rakan mereka dilanjutkan.
Menurutnya, harapan itu tidak pernah berubah sebaik mahkamah membuat keputusan anaknya, suami dan empat rakan dibebaskan daripada pertuduhan.
“Saya harap rayuan yang dipohon oleh pihak pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh tahanan terhadap anak saya itu adalah yang terakhir.
“Saya berdoa anak saya bebas dalam masa terdekat ini menjadi kenyataan dan memohon orang ramai turut mendoakannya.
“Saya ada jumpa anak saya Khamis lalu dan keadaan dia kini semakin ceria. Mungkin dia gembira kerana dapat jumpa dua anaknya yang berusia lima dan sembilan tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, setakat ini dia sekeluarga tidak dimaklumkan tempoh sebenar anaknya akan dibebaskan, namun kalau ikut laporan berita anaknya akan ditahan hingga 6 Ogos depan.
Terdahulu media melaporkan, tempoh tahanan penyanyi dikir barat yang popular dengan lagu Bea Soba Bea, Eda Ezrin, suami dan empat rakan di Penjara Pusat Narathiwat dilanjutkan sebulan lagi.
Ia susulan keputusan Mahkamah Wilayah Narathiwat membenarkan permohonan kelima pendakwa raya bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap keputusan membebaskan Eda Ezrin, 30; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.
Dalam kes ini, mahkamah membenarkan permohonan pertama pendakwa raya antara 6 Mac hingga 6 April; kedua (6 April-6 Mei); ketiga (6 Mei-10 Jun); keempat (10 Jun-6 Julai) dan kelima (6 Julai-6 Ogos). – Berita Harian