KUALA TERENGGANU: Tahun lalu rantai kunci penyu bertopi keledar menjadi kegilaan, kini trend membawa patung penyu diikat di belakang badan pula menjadi tarikan dalam kalangan peminat motosikal RXZ.
Peniaga, Mohd Azrol Azahar, 38, berkata, sebanyak dua kontena patung penyu yang dijual di sini habis diserbu ribuan peminat motosikal RXZ yang hadir ke Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Edisi ‘penyu galas belakang’ paling laris dengan jualan melebihi 70 peratus, diikuti rantai kunci patung penyu bertopi keledar yang turut digemari penunggang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Menurutnya, tempahan pada kali ini dibuat dalam jumlah yang tinggi membolehkan harga diturunkan berbanding tahun lalu bagi mengelakkan rungutan pembeli.
“Kalau dulu saiz sederhana dijual sekitar RM45 seunit, sekarang hanya RM19 hingga RM20. Saya nak semua lapisan pengunjung mampu bawa pulang patung ini sebagai kenangan,” katanya.
Tinjauan turut mendapati peminat motosikal RXZ lebih gemar memilih patung penyu saiz sederhana kerana mudah diikat di belakang badan dan harganya pula berpatutan yang mana setiap satunya dijual sekitar RM20 hingga RM30.
Sementara itu, peniaga Pasar Payang, Syed Syukri Syed Hamid, 40, berkata, fenomena tersebut memberi limpahan rezeki kepada peniaga tempatan kerana patung penyu kekal menjadi identiti peminat motosikal RXZ.
“Ramai yang singgah beli sebelum balik ke kampung. Kalau dulu satu atau dua sahaja, kali ini ada yang borong lima hingga enam patung penyu,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Nik Ramsuzilawati Nik Ramli, 40, berkata, patung penyu galas belakang itu turut mendapat permintaan tinggi di premis jualannya di Pasar Payang.
Seorang lagi peniaga, Nik Ramsuzilawati Nik Ramli, 40, berkata, patung penyu galas belakang itu turut mendapat permintaan tinggi di premis jualannya di Pasar Payang.
“Tahun ini video patung penyu galas belakang yang saya muat naik dalam TikTok dapat tontonan tinggi dalam tempoh seminggu sahaja dan stok yang dibawa masuk sudah habis terjual ketika program himpunan motosikal RXZ baru-baru ini.
“Sebelum ni ada ketika himpunan motosikal edisi terdahulu, ada juga patung penyu yang digalas belakang badan, tapi kali ni kita tengok trend patung penyu galas belakang yang tertera tulisan ‘We Are RXZ Members 7.0’ memang menjadi fenomena dan dapat permintaan tinggi,” katanya. – Sinar Harian