Negeri

Isu kenaikan tarif air, rakyat terbeban

KUALA TERENGGANU: Rakyat menggesa Syarikat Air Terengganu (SATU) meneliti semula pelarasan kadar tarif air baharu kerana ia membebankan terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan keluarga besar.

Suri rumah, Nabilah Mamat, 33, berkata, meskipun kenaikan tarif baharu iaitu sebanyak lapan sen setiap liter adalah nilai yang kecil, namun baginya yang memiliki keluarga besar, ia membebankan.

Pembantu kedai makan itu berkata, sebelum pelarasan tarif baharu, kadar penggunaan air sebulan hanya RM20 hingga RM30.

Namun katanya, selepas pelarasan tarif baharu, dia perlu membayar lebih RM50 sebulan.

“Walaupun kenaikan hanya sekitar RM20, namun bagi saya, dengan pendapatan suami yang juga kakitangan awam rendah, ia membebankan,” katanya ditemui, hari ini.

Pengusaha restoran, Mamat Abd Wahab, 62, berkata, SATU perlu mengkaji semula pelarasan tarif baharu agar ia memberi kebaikan kepada kedua belah pihak, rakyat dan kerajaan negeri.

Katanya, sebagai pengusaha kedai makan, air adalah sumber penting dalam penggunaan harian selain elektrik.

Menurutnya, jika sebelum ini, kadar penggunaan air yang dikenakan setiap bulan antara RM150 hingga RM180, namun kini ia meningkat kepada RM250 hingga RM300 sebulan

“Kita faham dengan masalah dihadapi SATU yang memerlukan kos tinggi untuk penyelenggaraan termasuk kerja pembaikan dan penggantian jajaran paip usang dan kritikal di seluruh negeri.

“Namun dalam masa sama, SATU juga perlu melihat pelarasan tarif baharu itu menjadi beban tambahan kepada rakyat yang turut terbeban dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Susulan kenaikan tarif baharu itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zulkifli Ali berkata, kerajaan negeri mengarahkan SATU meneliti semula pelarasan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu selepas mengambil kira aduan serta rintihan rakyat yang terkesan.

Katanya, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang, semalam, membincangkan perkara berkenaan secara menyeluruh dengan mengambil kira pertimbangan adil untuk semua pihak.

Menurutnya, isu beban kenaikan kos sara hidup rakyat ekoran pelarasan tarif serta peningkatan kos operasi yang ditanggung SATU menjadi antara fokus utama perbincangan kerajaan negeri.

“Mesyuarat MMKN bersetuju supaya SATU membuat penelitian daripada segenap aspek dan mengemukakan pelan tindakan baharu kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat agar segala aduan pengguna yang terkesan dapat disantuni sebaiknya,” katanya menerusi surat rasmi dikemukakan kepada SATU, semalam. – Harian Metro

Related Posts